Suspek kes tembakan bersiri di Los Angeles ditahan polis


SEORANG lelaki yang dituduh membunuh empat orang dan mencederakan dua yang lain dalam beberapa siri serangan, kini ditahan polis, lapor agensi berita Xinhua.

“Kita mengesahkan suspek dikenali Gerry Dean Zaragoza, 26, mempunyai kaitan dengan insiden tembakan di Lembah San Fernando dan sudah ditahan polis,” tulis Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) di Twitter.

Kenyataan itu dimuat naik kira-kira 3 petang waktu tempatan, tiga jam selepas kejadian tembakan berlaku di stesen bas Van Nuys, terletak 30 kilometer di barat bandar Los Angeles.

Zaragoza juga disyaki membunuh bapa dan abangnya serta mencederakan ibunya dalam kejadian di Canoga Park pada Khamis pagi.

Suspek, kemudian menembak mati seorang wanita di sebuah stesen minyak serta mencederakan seorang lelaki di luar sebuah bank di North Hollywood ketika cuba merompak mangsa.

Canoga Park, North Hollywood dan Van Nuys komuniti yang terletak di Lembah San Fernando, dengan Van Nuys mempunyai jumlah penduduk paling ramai. – Bernama, 26 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen