SERAMAI 16 anggota marin ditahan pada Khamis pagi kerana terlibat aktiviti penyeludupan manusia di Kem Pendleton, California, 160 kilometer selatan Los Angeles, lapor agensi berita Xinhua.
Menerusi kenyataan yang dipaparkan dalam laman web Marinari Times, mengatakan operasi dijalankan anggota Marin Divisyen Satu dan Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Tentera Laut (NCIS).
“Jabatan itu komited untuk menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang, akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan NCIS. Mana-mana anggota Marin didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan sewajarnya,” kata kenyataan itu.
Operasi besar-besaran pada Khamis itu susulan tangkapan pada 3 Julai oleh Ejen Peronda Sempadan dekat sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico.
Mereka yang ditahan akan didakwa atas kesalahan menyeludup tiga pendatang tanpa dokumen berhampiran sempadan AS-Mexico dengan niat untuk mendapatkan keuntungan.
Anggota Marin dikerahkan ke sempadan AS-Mexico untuk membantu Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengukuhkan kawalan sempadan. Tentera dilarang menahan imigran. – Bernama, 26 Julai, 2019.
Komen