Aktivis berhimpun bantah dasar Israel musnah kediaman rakyat Palestin


Aktivis menuntut Israel menamatkan diskriminasi dan memulihkan hak rakyat Palestin. – Gambar EPA, 26 Julai, 2019. – Gambar EPA, 16 Januari, 2019.

SEKUMPULAN aktivis Palestin dan Israel pada Khamis membantah dasar rejim zionis yang memusnahkan kediaman penduduk Palestin di Baitulmaqdis, lapor agensi berita Anadolu.

Penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Peres di barat Baitulmaqdis berhampiran kediaman Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, sambil melaungkan slogan menentang dasar serta pencerobohan rejim zionis terhadap Palestin.

Sambil membawa sepanduk dengan slogan menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin, aktivis menuntut Israel menamatkan diskriminasi dan memulihkan hak rakyat Palestin.

Pada Isnin, jentolak yang diiringi ratusan tentera Israel telah memasuki kejiranan Wadi Homs di Baitulmaqdis Timur dan mula merobohkan beberapa bangunan di kawasan itu.

Pihak berkuasa Israel mendakwa bangunan terbabit dibina tanpa permit.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, yang menempatkan Masjid Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967. – Bernama, 26 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen