BEKAS ahli pasukan skuad elit yang dikenali sebagai The Junglers semalam menuduh bekas presiden Yahya Jammeh mengarahkan pembunuhan dua rakyat Amerika Syarikat pada 2013 setelah mengaku membunuh seorang wartawan terkenal.
Pada hari terakhir perbicaraan sebelum ditangguhkan sehingga 5 Ogos, Badjie ahli pasukan skuad elit Jammeh berkata, ketua negara telah memerintahkan agar dua usahawan AS, Alhaji Ceesay dan Ebrima Jobe yang disyaki merancang rampasan kuasa “dicincang” pada Jun 2013.
Badjie berkata, kedua-dua lelaki itu ditangkap dan dibawa ke kediaman presiden di Kanilai.
“Di sana mereka dibawa ke suatu tempat kemudian dilemaskan, dipenggal dan dikebumikan. Kami tanam mayat mereka dalam satu kubur.
“Pasukan kami adalah skuad elit Yahya Jammeh. Kami taat setia untuk Yahya Jammeh,” katanya.
Terdahulu saksi berkata, mereka mengambil bahagian dalam membunuh Haruna Jammeh yang merupakan sepupu Jammeh dan penyeksaan terhadap ulama Imam Baba Leigh serta pelaksanaan hukuman sembilan penjara pada 2012.
Jatta memberitahu suruhanjaya itu bahawa Ketua Junglers Tumbul Tamba memberi masing-masing 50,000 GMD (RM5,250) sebagai tanda penghargaan daripada Jammeh selepas pembunuhan editor surat khabar Dayda Hydara yang menulis artikel tentang rasuah yang melibatkan Jammeh.
Jallow juga memberitahu mahkamah, Jammeh memerintahkan pembunuhan beramai-ramai 30 pendatang yang dikatakan “tentera upahan” yang dihantar untuk menggulingkannya pada 2005.
Bekas pegawai di Pengawal Presiden berkata, kira-kira 45 pendatang di Eropah terdiri daripada warganegara Ghana, Nigeria, Senegal dan Togo ditangkap di pantai ketika cuba memasuki Eropah.
“Yahya Jammeh mengarahkan pembunuhan warga asing itu kerana dipercayai tentera upahan yang dihantar untuk menjatuhkannya,” kata Jallow.
Mereka dibawa ke tempat penembakan kemudian tentera diberitahu oleh pegawai pemerintah mereka Lt Solo Bojang bahawa tawanan akan dibunuh. – AFP, 26 Julai, 2019.
Komen