MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini memfailkan semula dakwaan terhadap Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah; Sekretariat, Mandeep Singh; dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.
Peguam Vince Tan yang mewakili Mandeep dan Maria, berkata ketiga-tiga mereka didakwa sekali lagi di bawah Seksyen 4 (2) (c) Akta Perhimpunan Aman oleh Pejabat Peguam Negara.
“Mahkamah sebelum ini telah menggugurkan dakwaan pada 28 Ogos, apabila pasukan pembelaan sudah bersedia untuk dibicarakan, namun ketiadaan timbalan pendakwa raya menyebabkan ketiga-tiganya dilepaskan, bukanlah dibebaskan.
“Hari ini, timbalan pendakwa raya memutuskan untuk mendakwa semula mereka,” katanya di kompleks mahkamah Kuala Lumpur.
Ketiga-tiganya didakwa kerana menganjurkan protes jalananan #KitaLawan dari Jalan Tun Perak ke pusat membeli-belah Sogo antara jam 3.15 petang hingga 6 petang pada 28 Mac dua tahun lepas.
Tan berkata individu keempat, aktivis Mohd Fariz Abd Talib, tidak didakwa semula.
“Mahkamah juga memutuskan untuk mengekalkan ikat jamin sebanyak RM500, yang dibayar pada 2015.
“Ini adalah kes baru dengan caj yang sama. Kes itu akan disebut semula pada 3 November.”
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Safarizal Zakaria meminta Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid mengenakan ikat jamin RM5,000 tetapi permintaan itu ditolak.
Peguam Rajsurian Pillai, yang mewakili Sim, berkata pertuduhan yang dibawa terhadap ketiga-tiga mereka adalah sama seperti pada 2015.
“Mereka sebelum ini dilepaskan kerana timbalan pendakwa raya tidak menghadiri perbicaraan pada Ogos dan majistret marah dan menolak kes itu.
“Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya masih boleh mengenakan caj kepada ketiga-tiganya jika dia memilih untuk melakukannya.
“Saya percaya pada hari pertama pendengaran, salah seorang pendakwa cuti sakit dan seorang lagi bercuti.”
Sim berkata mereka kecewa dengan pendakwaan itu kerana mereka hanya menyuarakan hak rakyat dan menuntut keadilan semasa perhimpunan itu.
“Objektif perhimpunan itu juga untuk menyuarakan penentangan mengenai cukai barang dan perkhidmatan. Itulah sebabnya golongan muda menganjurkan perhimpunan itu, dan ke sana untuk menyokong mereka.
“Bagaimanapun, kami didakwa, yang menentang semangat Perlembagaan, yang menjamin (hak untuk mengadakan) perhimpunan secara aman.”
Sim berkata, Akta Perhimpunan Aman disalahgunakan untuk menindas pembangkang dan pemimpin masyarakat sivil.
“Kita dapat melihat ramai ditangkap dan didakwa di bawah akta itu. Ia disalahgunakan dan menjadi alat penindasan yang digunakan oleh kerajaan.”
Maria menyifatkan pendakwaan semula itu sebagai penyalahgunaan proses kehakiman.
“Ini adalah satu pembaziran masa dan wang pembayar cukai kita. Selepas dua tahun, kita perlu memulakan perkara ini sekali lagi.”
Beliau berkata ia mengecewakan yang Jabatan Peguam Negara dan polis gagal memahami Perlembagaan dan hak rakyat.
“Mereka mengambil kesempatan daripada proses itu, dan bukan hanya kes ini, tetapi banyak kes lain. Sistem yang tidak adil ini perlu berakhir.”
Mandeep berkata intimidasi sedemikian akan berterusan, dan percaya langkah itu juga menghalang anggota Parlimen pembangkang lain bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
“Kami tidak akan berhenti menganjurkan perhimpunan, kami akan terus berbuat demikian, dan berharap rakyat akan keluar dan menyokong kami.” – 4 Oktober, 2017.
Komen