POLIS Kanada pada Khamis berkata sudah mengerahkan semua sumber termasuk anjing pengesan dan perunding krisis ke bandar utara terpencil, lokasi dua remaja yang menjadi suspek tiga pembunuhan, disyaki bersembunyi.
Warga Kanada, Kam McLeod, 19, dan Bryer Schmegelsky, 18, diburu berhubung pembunuhan Lucas Fowler dari Australia dan teman wanitanya, Chynna Deese dari Amerika Syarikat.
Kedua-duanya juga didakwa melakukan pembunuhan mangsa ketiga, yang dikenal pasti oleh polis sebagai Leonard Dyck.
Semua mangsa ditemui di utara British Columbia awal bulan ini, tetapi suspek kini dikesan berada di tiga wilayah dan ratusan kilometer ke utara bandar Manitoba Gillam, kata polis.
Polis Kanada mengerahkan “sejumlah besar sumber” ke kawasan Gillam, termasuk anjing pengesan, pengawasan udara, pasukan kecemasan dan perunding krisis, kata jurucakap Julie Courchaine.
“Kami percaya mereka masih berada di kawasan itu,” kata Courchaine mengenai dua penemuan berasingan suspek di kawasan Gillam.
Dalam satu wawancara dengan Canadian Press, bapa Schmegelsky berkata anaknya sangat bermasalah dan “(mahu) kesakitannya berakhir.”
“Beliau dalam misi bunuh diri ...beliau akan mati hari ini atau esok,” kata Alan Schmegelsky mengenai anaknya, menjelaskan yang Bryer tidak pernah pulih daripada tekanan emosi akibat perceraian ibu bapanya pada 2005.
“Berehat dengan aman, Bryer, saya sayang kamu,” kata bapanya dengan menangis.
“Saya minta maaf semua perkara ini berlaku, ayah minta maaf kerana tidak dapat menyelamatkan awak.”
Suspek terakhir dilihat pada Isnin sebelum polis menemui kenderaan milik mereka yang dibakar di kawasan Gilliam.
Walaupun suspek tidak dilihat sejak itu, Courchaine berkata tiada kenderaan dilaporkan dicuri yang boleh dikaitkan dengan mereka itu.
“Selama 48 jam terakhir, kami menerima lebih 80 tips dan kami terus meminta orang ramai supaya tetap waspada,” katanya.
Sebelum penemuan kereta terbakar pada Isnin, suspek kali terakhir dilihat di sebelah utara wilayah kejiranan Saskatchewan dengan memandu kelabu Toyota RAV4.
Agensi itu sebelum ini memberi amaran kepada orang ramai agar tidak berinteraksi dengan McLeod dan Schmegelsky.
“Jika anda melihatnya - jangan ambil sebarang tindakan - jangan menghampiri mereka. Hubungi 911 atau polis tempatan segera,” kata polis.
Pada awalnya dianggap hilang, polis berkata pada Selasa yang McLeod dan Schmegelsky hanya menjadi suspek kematian Fowler, 23, dan Deese, 24, yang mayatnya ditemui pada 15 Julai.
Polis kemudiannya menemui mayat Dyck, dipercayai berusia 50-an atau 60-an, kira-kira 300 batu (480 kilometer) jauhnya, berhampiran trak pick-up terbakar yang dipercayai digunakan oleh dua suspek remaja.
Polis berpendapat lelaki itu, yang digambarkan kepada pegawai sebagai “suami dan ayah yang penyayang” oleh keluarganya, dibunuh akhir minggu lalu. – AFP, 26 Julai, 2019.
Komen