SINGAPURA hari ini mengeluarkan nasihat perjalanan ke Hong Kong untuk warganegaranya, berikutan laporan mengenai tunjuk perasaan yang akan berlangsung di dua tempat di bandar raya tersebut.
Nasihat perjalanan itu tertumpu kepada tunjuk perasaan yang akan berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 1 tengah hari, hari ini dan di Yuen Long di New Territories, esok.
Hantaran di laman web Kementerian Luar Negara (MFA) republik itu, menasihatkan warga Singapura untuk mengelakkan kawasan tersebut pada masa dinyatakan.
“Dalam minggu sebelum ini, beberapa tunjuk perasaan besar-besaran telah diadakan di beberapa tempat di Hong Kong. Walaupun berlangsung dalam keadaan aman dan baik, terdapat laporan berlakunya pertelingkahan dalaman.
“Tunjuk perasaan itu dianjurkan secara aman, namun masih terdapat kemungkinan berlakunya keganasan dengan atau tanpa sebarang makluman,” kata kementerian itu.
Hong Kong kini menghadapi bantahan besar-besaran terhadap tindakan Ketua Eksekutifnya Carrie Lam, memperkenalkan pindaan di mana membolehkan tindakan ekstradisi dilakukan kepada mereka yang disyaki, ke China, Macau dan Taiwan. – Bernama, 26 Julai, 2019.
Komen