PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un menyifatkan dua pelancaran peluru berpandu pada Khamis sebagi sebagai amaran kepada Korea Selatan, lapor media negara pada Jumaat.
Kim secara peribadi mengatur dan menyelia tembakan “sistem persenjataan terkini” dan berpuas hati dengan hasilnya, kata KCNA.
Ini adalah ujian peluru berpandu pertama Pyongyang sejak pertemuan antara Kim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jun lalu di zon bebas tentera antara Korea Utara dan Selatan.
Mesyuarat itu menghasilkan perjanjian untuk menyambung semula dialog peringkat kerja mengenai pemansuhan senjata nuklear dengan Washington tetapi perbincangan tersebut belum dimulakan.
Utara sebelum ini memberi amaran yang latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan akan menjejaskan rundingan itu.
Terdapat hampir 30,000 tentera AS ditempatkan di Korea Selatan dan pergerakan tahunan mereka dengan tentera Korea Selatan sering membangkitkan kemarahan Pyongyang.
Menteri Pertahanan Jepun berkata pelancaran peluru berpandu itu “sangat disesalkan” manakala Pejabat Keselamatan Kebangsaan Seoul berkata ia menyatakan kebimbangan serius dan AS menggesa “provokasi” itu dihentikan. – AFP, 26 Julai, 2019.
Komen