KUMPULAN NGO amal Action Against Hunger mendesak pembebasan enam pekerja bantuan yang diculik di tenggara Nigeria dan ditawan oleh militan yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Badan amal berpangkalan di Paris itu berkata kakitangannya, dua pemandu dan tiga pekerja kesihatan bagi satu projek berada dalam video tebusan yang dikeluarkan oleh kumpulan IS Wilayah Afrika Barat (ISWAP).
Video itu menunjukkan seorang staf wanita berkenaan memakai hijab warna biru, duduk di atas lantai dan bercakap di depan kamera dalam bahasa Inggeris, sementara lima lelaki rakan sekerjanya di belakangnya.
Mereka diculik ketika konvoi mereka diserang di kawasan berhampiran sempadan, semalam di mana seorang lagi pemandu maut.
Garba Shehu, jurucakap kepada Presiden Nigeria Muhammadu Buhari, berkata pihak berkuasa ada berhubung dengan penculik berkenaan yang diketahui terbabit dengan insiden serupa sebelum ini.
Action Against Hunger dalam satu kenyataan berkata ia mendesak stafnya dibebaskan.
“Mereka adalah pekerja kemanusiaan yang memilih untuk mengabdikan hidup bagi membantu masyarakat susah di Nigeria,” katanya.
Rakaman penculikan itu disiarkan menerusi siaran sama seperti video daripada kumpulan berkaitan pengganas IS sebelum ini.
Semua mangsa culik dipercayai ditahan di kawasan ISWAP di tepi tasik Chad. – AFP, 26 Julai, 2019.
Komen