MB Johor dikecam tidak jumpa mangsa pencemaran Pasir Gudang


Noel Achariam

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal dikecam kerana didakwa tidak bertemu dengan mangsa pencemaran di Pasir Gudang dan memberi penjelasan tentang situasi semasa kepada mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2019.

MENTERI Besar Johor Dr Sahruddin Jamal dikecam kerana tidak bertemu dengan mangsa pencemaran di Pasir Gudang dan memberi penjelasan tentang situasi semasa kepada mereka.

Mangsa dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mahukan jaminan daripada Sahruddin yang insiden itu tidak akan berulang lagi, dan mahu tahu apa yang berlaku kepada bantuan kewangan dijanjikan sebelum ini.

Hassan berkata menjadi tanggungjawab menteri besar untuk datang dan beri jaminan kepada rakyat bahawa kawasan itu kini selamat.

“MB ada tanggungjawab sosial untuk datang dan menjelaskan kepada rakyat tentang situasi semasa.

“Saya cabar beliau (Sharuddin) datang ke sini dan bertemu rakyat. Rakyat di sini merana dan mahukan jawapan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Mac, 6,000 orang terjejas dan terdedah kepada sisa kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim.

Masalah sama muncul kembali bulan lalu, di mana lebih 700 orang, kebanyakannya pelajar, terpaksa dirawat kerana masalah pernafasan, dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kimia dari kilang di kawasan itu.

Hassan berkata jika Shahrudin tidak mahu datang bertemu rakyat, beliau sendiri akan berdebat secara terbukan dengannya tentang kenapa tidak mahu bertemu mangsa dan menyelesaikan masalah mereka.

“Rakyar di sini sangat marah. Datang dan beri mereka jaminan yang kerajaan negeri akan buat apa saja untuk menangani isu ini.

“Bila dalam krisis, pemimpin negeri perlu datang dan lihat sendiri apa yang berlaku, bukannya beri arahan dari pejabat saja.

“Bekas menteri besar Osman Sapian ada datang ke sini ketika krisis Sungai Kim Kim. Sahruddin patut buat perkara yang sama.”

Pada Mac, 6,000 penduduk Pasir Gudang terdedah kepada sisa kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim. Insiden sama berulang pada bulan lalu menjejaskan 700 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2019.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa pro tem Taman Pasir Putih Rafee Abdullah berkata mereka marah kerana tidak dapat bertemu sendiri dengan menteri besar.

“Ketika beliau exco negeri (Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian) beliau kata akan datang ke sini ketika insiden Sungai Kim Kim. Tetapi beliau tidak datang. Sama juga selepas beliau jadi MB.

“Kami tidak mahu jumpa wakilnya. Kami mahu jumpa beliau. Jika boleh, kami mahu jumpa beliau esok.

“Kami juga ada hantar memorandum kepadanya, tetapi masih belum menerima balasan,” kata Rafee.

Penduduk Pasir Putih Saloma Hassan berkongsi sentimen yang sama.

“Kami mangsa di sini. Beliau MB baharu dan orang ada pengaruh.

“Beliau patut datang dan penuhi tanggungjawabnya sebagai MB. Beliau patut jumpa kami dan beri penjelasan. Tetapi, hingga hari ini, kami belum bertemunya,” kata Saloma.

Hassan juga mahu tahu bagaimana peruntukan RM6.4 juta bagi insiden Sungai Kim Kim dibelanjakan.

“Kami tidak tahu bagaimana wang itu digunakan. Mereka perlu jelaskan. Berapa banyak yang dibelanjakan.

“Kerajaan negeri dan persekutuan juga perlu beri bayaran ex-gratia kepada semua mangsa.”

Minggu lalu, penduduk Taman Pasir Putih membuat laporan polis, menggesa pihak berkuasa menyiasat bagaimana RM6.4 juta yang diperuntukkan untuk membersihkan toksik di Sungai Kim Kim digunakan.

Mereka bertanya tentang peruntukan itu kerana sehingga kini mereka tidak menerima sebarang bantuan dari kerajaan negeri.

Rafee berkata 110 mangsa yang terjejas akibat sisa toksik itu masih menunggu bantuan. – 26 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen