Penambakan Pulau Pinang jejas harga, bekalan ikan, kata lembaga perikanan


Sheridan Mahavera

Impak kepada pendaratan ikan di Perak akan memberi kesan kepada harga ikan yang menjadi antara sumber protein utama di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2019.

PROJEK Penambakan Pulau Pinang (PSR) akan memberi kesan kepada bekalan ikan di Malaysia dan menyebabkan kenaikan harga, kata pihak berkuasa perikanan kepada The Malaysian Insight.

Perlombongan pasir di perairan Perak untuk PSR akan memusnahkan tempat pembiakan ikan yang kini merupakan penyumbang kepada pendaratan ikan di Malaysia, kata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurut data LKIM, Perak membekalkan kira-kira 30% bekalan ikan di negara ini, yang merupakan paling tinggi dari semua negeri.

Pengerusi LKIM Faiz Fadzil berkata kerajaan negeri Perak dan Pulau Pinang perlu bertemu dengan nelayan di negeri masing-masing untuk melihat perkara ini kerana kira-kira 800 dan 6,000 nelayan masing-masing di Pulau Pinang dan Perak akan kehilangan mata pencarian.

Kata Faiz, LKIM bersedia menjadi perantara bagi pertemuan seperti itu kerana setiap kerajaan negeri bertanggungjawab terhadap nelayan di kawasan masing-masing.

“Terdapat asas untuk kebimbangan para nelayan. Sebarang projek penambakan akan memberi ancaman kepada eko-sistem ikan dan tempat pembiakannya. Persoalannya ialah berapa besar impaknya,” kata Faiz kepada The Malaysian Insight.

“Perak merupakan negeri yang paling banyak mendaratkan ikan jadi sebarang impak kepadanya akan memberi kesan kepada harga,” tambah Faiz.

PSR merupakan pembinaan tiga pulau buatan di selatan perairan Pulau Pinang. Kerajaan negeri bercadang untuk menggunakan tiga pulau buatan itu, yang berkeluasan 1,800 hektar, untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan bernilai RM46 bilion.

Kira-kira 800 dan 6,000 nelayan masing-masing di Pulau Pinang dan Perak akan kehilangan mata pencarian akibat kesan daripada penambakan dan perlombongan pasir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2019. 

Kumpulan aktivis alam sekitar menentang PSR dan pelan induk berkenaan yang melibatkan penarahan bukit, pembinaan lebuh raya dan terowong dasar laut yang menghubungkan Pulau Pinang ke tanah besar.

Nelayan Perak dan kumpulan aktivis alam sekitar Kuasa mendakwa laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek berkenaan mendedahkan pasir untuk projek berkenaan dilombong dari Perak.

Menurut EIA itu, lebih 189 juta meter kubik pasir diperlukan dan rancangan pelombong untuk melombongnya dari empat kawasan kira-kira 20 batu nautika dari perairan Manjung.

Mansor Yusof dari Persatuan Nelayan Perak berkata perlombongan pasir akan memusnahkan kawasan menangkap ikan kerana arus air akan melemaskan hidupan laut.

“Ia juga akan menghakis pesisir pantai yang akan memusnahkan hutan paya bakau yang penting untuk pembiakan ikan,” tambah Mansor.

Penurunan jumlah pendaratan ikan di Perak akan menjejaskan bekalan ikan tempatan di seluruh negara dan menyebabkan kenaikan harga.

Faiz dari LKIM berkata Kementerian Pertanian juga menjalankan kajiannya mengenai impak PSR kepada industri perikanan dan akan membawa perkara ini ke Perak dan Pulau Pinang.

“Majlis perancangan fizikal negara juga melakukan kajian sendiri mengenai semua aspek kesan PSR dan kami harap ini dapat didedahkan tidak lama lagi,” tambah Faiz. – 26 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen