PRESIDEN Donald Trump pada Rabu menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan resolusi kongres yang berhasrat menghalang usaha pentadbiran Trump menjual senjata api kepada Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor agensi berita Xinhua.
Kenyataan Rumah Putih mengatakan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menyifatkan resolusi berkenaan akan “melemahkan daya saing global Amerika” dan merosakkan hubungan negara dengan sekutu serta rakan kongsi.
Ia adalah kali ketiga Trump menggunakan kuasa vetonya.
Minggu lalu, Dewan Perwakilan AS meluluskan resolusi terbabit, selepas Senat memberikan persetujuan mereka pada Jun.
Memetik krisis kemanusiaan akibat konflik Yaman dan pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, Kongres AS telah menangguhkan penjualan senjata kepada Arab Saudi dan UAE.
Pentadbiran Trump mengumumkan pada Mei akan menggunakan Akta Kawalan Eksport Senjata Api untuk membolehkan penjualan senjata bernilai AS$8.1 bilion kepada rakan serantau AS bertujuan menghalang ancaman Iran. – Bernama, 25 Julai, 2019.
Komen