PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan SRC International Najib Razak akan menyediakan semua transkrip komunikasi dari BlackBerry milik bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu kepada pihak peguambela bagi memastikan “perbicaraan yang adil dan telus”.
Pendakwa V Sithambaram memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pihak peguam bela itu akan mempunyai akses kepada ratusan muka surat dokumen yang tidak ditender sebelum ini sebagai bukti.
Semasa pemeriksaan balas Yu pagi ini, Sithambaram telah membantah penggunaan emel oleh pihak peguambela yang tidak ditender oleh pihak pendakwa sebagai bukti.
Selepas perbicaraan diteruskan pada sebelah petang, Sithambaram memaklumkan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pihak pendakwa akan menghasilkan transkrip komunikasi daripada telefon Yu.
“Kami ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua baki perbualan akan disediakan untuk pihak pembelaan kaji supaya prosiding tidak terganggu,” katanya.
Sithambaram berkata, log perbualan itu perlu dikeluarkan secara rasmi oleh penganalisis digital Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Kewangan Bank Negara Shuzairizman Shuib
“Mereka tidak dapat hadir hari ini kerana demam denggi.
“Bagaimanapun kami berhasrat memberikan salinan pendahuluan kepada pihak peguam bela kerana perbicaraan ini melibatkan saksi, Joanna. Pihak pendakwa tidak mahu menangguhkan sebarang dokumen berkaitan dengan kes pembelaan,” katanya.
Sithambaram mencadangkan salinan akan ditandakan sebagai ID (identifikasi) dan disediakan untuk peguam bela mengkaji hujung minggu ini sebelum ditandakan sebagai bahan bukti.
Berita penuh di sini.
Komen