Syed Saddiq budak cari perhatian, tak berbaloi RM5 juta, kata Annuar Musa


Looi Sue-Chern

KETUA Penerangan Umno Annuar Musa mengetepikan dakwaan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman yang dia ditawarkan RM5 juta oleh kerajaan untuk meninggalkan partinya, menyifatkannya sebagai gimik cari perhatian dan wang sebanyak itu tidak berbaloi untuk ahli politik baru itu.

“Adakah anda fikir dia (Syed Saddiq) berbaloi dengan RM5 juta?” kata Annuar pada majlis forum anjuran Umno di Balik Pulau, Pulau Pinang malam tadi.

“Jika saya ada RM5 juta, saya akan beri duit itu kepada 100 budak lelaki untuk tanam kelulut. Baik belanjakan duit begitu daripada bagi kepada Syed Saddiq.

“Terpulang padanya. Perjalanannya dalam politik masih jauh. Saya doakan yang terbaik untuk dia,” kata ahli politik veteran itu.

Isnin lalu, Syed Saddiq mendakwa dia ditawarkan RM5 juta daripada pihak yang mempunyai kaitan dengan Pejabat Perdana Menteri untuk meninggalkan Bersatu yang diterajui pengerusi pembangkang, Dr Mahathir Mohamad.

Syed Saddiq mengatakan sekiranya dia menerima tawaran itu, dia perlu membaca skrip yang disediakan pada sidang media mengkritik Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri pada 1981 hingga 2003 dan merupakan mentor kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Annuar berkata dia “bersimpati” dengan Syed Saddiq yang kini berdepan kritikan atas dakwaannya itu.

“Mudahnya, dia budak kurang perhatian. Ramai lagi yang tolak sambung belajar, seperti anak saya, tapi mereka tak buat sidang media.

“Dia buat untuk dapat perhatian. Dia suka tengok anda semua (media) beri dia publisiti. Okay saja. Dia masih muda dan perlu belajar politik,” kata Annuar.

Sehari sebelum pendedahan itu, Syed Saddiq memuat naik di akaun Instagramnya tentang tawaran biasiswa untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Oxford.

Katanya, dia sedang mempertimbangkan sama ada perlu atau tidak mengorbankan kerjaya politiknya untuk menyambung pengajian.

Dr Mahathir selepas itu mengatakan “membeli orang” adalah cara Najib menang pilihan raya. Katanya, Syed Saddiq bukanlah individu pertama yang ditawarkan habuan untuk meninggalkan pembangkang.

Syed Saddiq memberitahu The Malaysian Insight semalam yang dia akan membuat laporan polis berbanding melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana wujud ancaman yang dibuat kepada keluarganya oleh mereka yang menawarkannya wang untuk meninggalkan Bersatu.

“Selepas berjumpa polis, saya akan buat keputusan sama ada untuk buat atau tidak laporan kepada SPRM. Saya perlu berbincang dengan peguam saya dahulu.” – 4 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen