Azmin tidak akan keluar parti, kata setiausaha politiknya


Nabihah Hamid

Sejak semalam, tersebar satu mesej melalui Whatapps kononnya Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali akan membawa 10 pemimpin PKR menyertai Bersatu dalam masa terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2019.

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak akan keluar parti kerana parti reformasi itu adalah asas politiknya, kata setiausaha politiknya Muhammad Hilman Idham. 

Kata Adun Gombak Setia itu, kenyataan yang disebar di WhatApps sejak semalam hanyalah khabar angin semata-mata.  

“Azmin Ali akan kekal bersama Keadilan. Mustahil (keluar parti). 

“Dia menang besar dalam pemilihan parti. Dia ada dukungan yang cukup kuat dalam kalangan pimpinan parti, baik dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), AMK (Angkatan Muda Keadilan) dan Wanita. 

“Beliau ada keabsahan politik untuk terus bersama parti dan Keadilan adalah asas politik Azmin,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Tegas Hilman, Azmin tidak akan keluar PKR kerana kesetiaannya kepada parti sangat kukuh. 

Beliau menambah, cakap-cakap mengenai Azmin keluar PKR adalah satu fitnah.

“Fitnah ini datang daripada orang yang kalah dan selalu kalah dengan Azmin. 

“Memang hasrat mereka supaya Azmin keluar dan mereka boleh tunggang parti ini sesuka hati mereka. 

“Malangnya, itu tidak akan berlaku,” katanya yang juga Timbalan Ketua AMK. 

Sejak semalam, tersebar satu mesej melalui WhatApps kononnya Azmin akan membawa 10 pemimpin PKR menyertai Bersatu dalam masa terdekat. 

Mesej tersebut turut menamakan pimpinan PKR lain antaranya Zuraida Kamaruddin dan Saifudin Abdullah, yang juga menteri kabinet.

Mesej itu juga menyebut Azmin akan mengadakan sidang media di Selangor esok. 

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Tian Chua menyelar tindakan pihak tertentu yang disifatkan mahu memecahbelahkan parti.

“Ada kumpulan tertentu mahu membuat huru-hara dalam parti untuk pecahkan Azmin dan Anwar. 

“Kesetiaan Azmin dalam parti tidak dapat dipertikai selama lebih 20 tahun berjuang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata beliau tidak maklum mengenai hal itu. 

“Bila pula (Azmin keluar parti),” soalnya kembali ketika ditanya mengenai mesej yang tersebar. 

Mesej mendakwa Azmin akan keluar PKR tersebar ketika PKR dilihat dalam krisis susulan penyebaran rakaman seks dua lelaki lebih sebulan lalu yang kemudian dikaitkan dengan menteri kabinet itu.

Bekas ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku beliaulah lelaki dalam rakaman itu dan menuduh Azmin sebagai pasangan intimnya.

Azmin menafikan tuduhan dan menegaskan ia perancangan jahat untuk menghancurkan masa depan politiknya.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan siasatan polis setakat ini mendapati rakaman seks itu tulen namun analisis ke atas video sukar menentukan identiti pelakunya. –  25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen