GABENOR Puerto Rico Ricardo Rossello mengumumkan peketakan jawatannya pada Rabu susulan protes besar-besaran sejak dua minggu lalu.
Penunjuk perasaan yang memenuhi jalanan di sekitar kediaman gabenor itu bersorak selepas pengumuman berkenaan disusuli tembakan bunga api dan kibaran bendera Puerto Rico.
“Saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai gabenor berkuatkuasa pada Jumaat, 2 Ogos, pukul 5 petang,” kata Rossello dalam video yang disiarkan
Facebook kerajaan itu.
Tunjuk perasaan tercetus pada 13 Julai apabila Pusat Kewartawanan Penyiasatan mendedahkan 889 muka surat mesej perbualan yang diambil dari aplikasi Telegram yang mana Rossello dan 11 lagi anggota pentadbiran kerajaan mengkritik pegawai, ahli politik dan wartawan.
“Saya percaya Puerto Rico akan terus bersatu dan bergerak ke hadapan sebagaimana biasa,” kata Rosselo.
“Saya berharap keputusan ini dianggap sebagai ‘perdamaian rakyat’.”
Rossello berkata beliau membuat keputusan itu selepas aduan yang dibuat terhadapnya dan perbincangan dengan keluarganya.
Rakyat Puerto Rico berhimpun di pintu pagar kediaman rasmi gabenor, yang dikenali sebagai La Fortaleza, di San Juan, menjelang pengumuman itu.
“Semua orang rasa dikhianati olehnya,” kata seorang pemuzik selebriti Rene Perez kepada stesen televisyen Telemundo, sejurus selepas pengumuman itu dibuat.
Beliau kemudian menyatakan rasa gembira dengan peletakan jawatan Rossello menerusi Twitter.
“Negara ini telah menemui apa yang menyatukan kita semua adalah hati,” katanya di Twitter. – AFP, 25 Julai, 2019.
Komen