Tiga Orang Asli Temiar Hulu Perak yang ditahan reman semalam susulan operasi merobohkan sekatan yang dibina komuniti itu berdekatan Hutan Simpan Ulu Chepam, Selasa lalu dilepaskan hari ini.
Peguam dari Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia Peka yang mewakili tiga Orang Asli itu, Thiyagu Ganesan berkata setakat ini tiada permohonan dari pegawai penyiasat untuk membawa kes ini untuk didakwa di mahkamah.
“Tidak ada keputusan lagi. Apapun saya berharap pihak berkuasa menggunakan budi bicara mereka mengambil kira semua perkara.
“Ini termasuk hak Orang Asli dan hak mereka mempertahankan tanah adat dalam membuat sebarang keputusan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada masa sama, peguam itu berkata akan turut membuat rayuan kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk memulangkan kembali empat motosikal yang dirampas dalam operasi tersebut.
Semalam, tiga Orang Asli Temiar ditahan reman dua hari untuk disiasat kerana membuat halangan yang didakwa salah demi melindungi hak mereka ke atas tanah adat mereka.
Mereka yang ditahan ialah Johari Aleuj, Pam Yeek dan Shukri Man.
Dua daripada mereka juga tidak membawa kad pengenalan semasa ditahan pada Selasa.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menghalang secara salah, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Masyarakat Orang Asli di Kampung Sg Papan mendakwa pembalak cuba memasuki tanah adat mereka yang didaftar atas nama Ong Kensel sejak April lalu.
Pada Jumaat, mereka mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perhutanan Perak untuk membincangkan isu pencerobohan tanah adat Orang Asli.
Namun mereka dimaklumkan bahawa pembalak tersebut mempunyai permit yang diluluskan oleh exco negeri.
Anjang berkata mereka sudah meminta supaya ditunjukkan permit itu tetapi diberitahu dokumen tersebut “rahsia kerajaan”.
Pada Sabtu, Menteri Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional P Waytha Moorthy dalam reaksinya terhadap penahanan tiga Orang Asli itu berkata permit kerajaan negeri kepada pembalak tidak sah selagi status tanah adat tidak diputuskan mengikut undang-undang.
Katanya, mahkamah selama ini sudah mengiktiraf kedudukan tanah adat Orang Asli dan tindakan mengeluarkan permit membalak di tanah berkenaan melampui ketetapan undang-undang. – 25 Julai, 2019.
Komen