DAKWAAN exco kesihatan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar bahawa najis burung merpati punca sampingan gangguan kesihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang hanyalah pendapat peribadi beliau, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Semua pihak sepatutnya berpegang pada dapatan asal kementerian iaitu terdapat kesan gas akrilonitril serta dua lagi gas lain iaitu akrolein dan metil merkaptan di kawasan terjejas pencemaran.
“Pernahkah kami sebut tentang najis burung merpati ini? Tak pernah… jadi kembali kepada apa yang kita sebut, tanpa sesiapa beri komen dan komentar tentang hak dan pandangan sesiapa pun.
“Pandangan kami, kita tak dapati (najis burung merpati sebagai punca),” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Kurangkan Gula Hidup Sihat di Pasaraya Giant Subang Jaya, hari ini.
Jelas Dr Dzulkefly, pihaknya akan terus memantau keadaan di Pasir Gudang secara berterusan.
Tambahnya, pihak berkuasa kesihatan Johor juga sentiasa memaklumkan perkembangan terkini sebarang insiden pencemaran di Pasir Gudang kepada kementeriannya.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Khuzzan baru-baru ini bahawa ada masalah najis burung di beberapa kelas di tingkat atas bangunan sekolah yang terpaksa ditutup.
Khuzzan pada Selasa berkata, pencemaran najis burung merpati mungkin menjadi faktor sampingan yang menyebabkan insiden gangguan kesihatan, termasuk sesak nafas dan muntah, di sekolah berkenaan.
Beliau berkata tinjauan pihaknya mendapati beberapa kelas di tingkat atas sekolah itu terpaksa ditutup akibat masalah najis burung berkenaan.
“Masalah najis dan hama burung di kelas tingkat atas bangunan sekolah ini agak serius.
“Ia mungkin antara faktor setiap hari (kerap), ada kejadian murid mengalami simptom sesak nafas dan muntah di sekolah ini,” katanya. – 25 Julai, 2019.
Komen