PASUKAN forensik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merumuskan punca kematian Orang Asli di Kuala Koh, Kelantan, baru-baru ini, dalam pertemuan dalaman mereka hari ini, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Kementerian Kesihatan bagaimanapun belum memutuskan bila laporan yang akan diserahkan kepada menteri itu akan didedahkan kepada umum, katanya.
“Kita dalam proses untuk keluarkan pandangan kami. Kami dah keluarkan pandangan atas empat kematian dan 12 autopsi bedah siasat ke atas yang meninggal dunia sedang di peringkat akhir.
“Hari ini saya akan jumpa pasukan forensik, dan mereka akan bertemu untuk mengadakan perbincangan dalaman dan mereka akan buat rumusan mereka,” kata Dr Dzulkefly pada sidang media di Subang Jaya, hari ini.
“Mereka akan buat rumusan dan saya akan diberitahu,” tambahnya lagi.
KKM sebelum ini menggali semula 12 kubur orang asli suku Bateq di Kuala Koh, bagi menjalankan bedah siasat mencari punca sebenar kematian mereka.
Pencemaran air dan tanah daripada aktiviti perlombongan haram berdekatan Kampung Kuala Koh didakwa menjadi punca kematian mereka.
Kerajaan negeri Kelantan pada 11 Jun lepas telah menyita kawasan perlombongan bijih mangan di kampunh berkenaan dan mengesahkan operasi perlombongan haram itu telah dihentikan.
Dr Dzulkefly dalam kenyataannya sebelum ini berkata kematian 12 orang asli suku Batek di kampung berkenaan meninggal dunia ‘secara misteri’ antara 2 Mei dan 7 Jun, belum dapat diketahui sehingga keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi diperolehi. – 25 Julai, 2019.
Komen