Polis terima ancaman bom di mahkamah


Timothy Achariam

Polis bertindak mengosongkan bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini susulan menerima panggilan telefon tentang ancaman bom, pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 25 Julai, 2019.

SESEORANG yang tidak dikenali menghubungi polis pagi ini memberitahu ada bom di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, menyebabkan pihak berkuasa mengosongkan bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Sentul S. Shanmugamoorthy mengesahkan insiden itu dan pada masa ini anggotanya masih melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar kompleks mahkamah.

“Pada 11 pagi kami menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki di ibu pejabat polis TTDI (Taman Tun Dr Ismail).

“Lelaki terbabit memaklumkan kami tentang ancaman itu dan kami segera menggerakkan Unit Pemusnah Bom.

“Kami tidak tahu siapa pemanggil itu,” katanya.

Kompleks mahkamah dikosongkan pada 12.30 tengah hari tadi dan menyebabkan semua kes mahkamah pada hari ini terganggu, dan ia termasuk perbicaraan kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketika ditanya berapa lama masa diperlukan untuk mengesahkan tiada lagi ancaman itu, Shanmugamoorthy berkata kompleks mahkamah itu besar dan masa agak lama akan diambil bagi memastikan ia selamat. – 25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen