SEORANG wanita di California dihukum penjara 25 tahun kerana membiarkan anak perempuannya yang berusia 3 tahun di dalam kereta selama 10 jam sehingga mati, kata pegawai.
Menurut wanita itu, dia berbuat demikian untuk membuang ‘iblis’ di dalam badan anaknya.
Angela Phakhin pada bulan lepas disabitkan bersalah membunuh anaknya, Maiya, dan hakim menjatuhkan hukuman pada Jumaat, menurut pejabat pendakwa raya di Sacramento.
Tunang Phakhin, Untwan Smith juga didakwa dalam kes itu dan sedang menunggu untuk dibicarakan.
Pihak berkuasa berkata pasangan berasal dari Arkansas itu berpindah ke California pada 2016 dan tinggal dalam kereta.
Selama 2 minggu pada Jun 2017, mereka mendedahkan Maiya di bawah cuaca panas terik, tambah pihak berkuasa.
Menurut pendakwa raya, kanak-kanak malang itu dibiarkan selama empat jam setengah di dalam kereta dan sembilan jam lagi keesokan harinya, sehinggalah dia mati.
“Phakhin sudah berulang kali diberi amaran supaya melindungi Maiya dan meletakkan anaknya itu di tempat teduh, tetapi dia tak mengendahkannya,” kata pendakwa raya.
“Selepas Maiya meninggal dunia, Phakhin beritahu pihak berkuasa yang dia dan Smith cuba mengeluarkan ‘iblis’ dari tubuh Maiya.”
Phakhin dan Smith ditahan pada 28 Jun 2017 di Rancho Cordova di utara San Francisco. – AFP, 25 Julai, 2019.
Komen