LOW Taek Jho memberitahu bekas pengurus perhubungan AmBank agar memadamkan log perbualan teks mereka dalam BlackBerry pada awal 2015, beberapa bulan sebelum pihak berkuasa menyerbu bank untuk merampas dokumen berkaitan dengan dakwaan penyelewengan dana awam, mahkamah diberitahu hari ini.
Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, merupakan seorang daripada pelanggan terbesar bank dan Joanna Yu, katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Semasa sesi soal balas, peguam bela Harvinderjit Singh meneliti log perbualan BlackBerry Messenger (BBM), bertarikh 3 Mac 2015.
Peguam itu bertanya kepada Yu apakah Low pernah menghantar mesej kepada beliau agar memadamkan semua log perbualan mereka.
“Ya, tetapi saya tidak memadamkannya kerana saya tidak tahu berbuat demikian,” katanya.
Rekod percakapannya dengan Low kekal di dalam telefon, yang kemudian dirampas oleh Bank Negara semasa serbuan di cawangan AmBank Raja Chulan di Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.
Serbuan bank pusat itu susulan artikel Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai 2015, yang memetik sumber mengatakan penyiasat percaya dana berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masuk ke dalam akaun Najib Razak. 1MDB pernah memiliki SRC International.
Yu menafikan beliau menyerahkan butiran komunikasinya dengan Low kepada wartawan WSJ, Tom Wright dan Bradley Hope. Yu juga berkata tidak membaca buku mereka, “Billion Dollar Whale”.
Harvinderjit kemudian bertanya kepada Yu jika beliau pernah terfikir yang bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil menerima arahan daripada Low berhubung akaun semasa Najib memandangkan Nik Faisal adalah pemegang mandat akaun. – 25 Julai, 2019.
Berita penuh di sini
Komen