Zoo Negara perlu jawab isu RM1.6 juta, kata menteri


Zaim Ibrahim

Pengurusan Zoo Negara perlu menjawab isu peruntukan RM1.6 juta yang diberikan oleh kerajaan pada 2011 untuk membina kuarters pekerja zoo tetapi belum disiapkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2019.

PIHAK pengurusan Zoo Negara perlu menjawab isu peruntukan RM1.6 juta yang diberikan oleh kerajaan pada 2011 untuk membina kuarters pekerja zoo tetapi sehingga kini pangsapuri tujuh unit itu belum disiapkan, kata Dr Xavier Jayakumar.

Menteri air, tanah dan sumber asli itu berkata pihaknya hanya akan bertindak selepas siasatan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pengurus Zoo Negara perlu jawab tentang apa yang berlaku. Kita ada audit dan kita tunggu apa hasil daripada audit.

“Siasatan akan dijalankan. Saya dengar (perkara) ini pun telah dihantar kepada SPRM.

“Biarkan mereka buat siasatan. Kita tunggu dulu sebelum ambil apa-apa tindakan,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut mengharapkan pengurusan Zoo Negara mampu menjelaskan apakah hasil daripada peruntukan yang dikeluarkan.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu agensi anti rasuah menyiasat pengurusan kewangan Zoo Negara, selepas pihak pentadbirannya mendakwa mereka tidak cukup dana untuk membaik pulih zoo tersebut.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata Zoo Negara menerima peruntukan yang besar daripada kerajaan, termasuk RM1.6 juta pada 2001 khusus untuk menyediakan kediaman pekerja.

“Pada ketika itu, kami diberitahu peruntukan itu untuk pembinaan tujuh pangsapuri tiga bilik dan kami memikirkan projek itu terlampau mahal kerana membabitkan hanya tujuh unit,” katanya.

“Apa pun, pangsapuri itu tidak disiapkan untuk manfaat pekerja Zoo Negara sebagaimana yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zoo Negara ialah zoo yang pertama di Malaysia dan diuruskan sepenuhnya oleh Persatuan Zoologikal Malaysia iaitu sebuah badan bukan kerajaan.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli hanya bertindak dalam memberikan lesen kepada Zoo Negara untuk memelihara pelbagai haiwan di situ.

Isnin lalu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata Zoo Negara gagal menaik taraf segala perkhidmatan berikutan kekurangan dana dan tiada sokongan daripada kerajaan.

Jelasnya, Zoo Negara hanya menerima bantuan kerajaan daripada aspek pembangunan.

Solomon berkata sebarang peruntukan untuk Zoo Negara hanya boleh dipertimbangkan setelah pihak berkuasa puas hati tidak ada penyelewengan atau salah laku pengurusan. – 25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen