Pensyarah UiTM mengaku tidak bersalah salah guna kuasa


Alfian Z.M. Tahir

Mohd Nor Mamat (tengah), pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadi atas dakwaan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan bagi penganjuran program motivasi pada 2016. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Julai, 2019.

SEORANG pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadi atas dakwaan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan bagi penganjuran satu program motivasi pada 2016.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Nor Mamat dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari menyalahguna kuasanya dengan mendaftar sebuah syarikat menggunakan Integrated Consultancy System (Icons) bagi penganjuran program International Syariah Compliant Idea, Invention, Innovation & Design 2016.

Program itu pada mulanya dianjurkan oleh sebuah syarikat lain yang mana pensyarah berusia 46 tahun itu mempunyai kepentingan.

Hakim Mohd Sabri Ismail membebaskan tertuduh dengan jaminan RM15,000 serta seorang penjamin. Hakim juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

“Tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport dan ikat jamin ditetapkan pada RM15,000. Sebutan semula kes pada 26 Ogos,” kata Hakim Mohd Sabri.

Mohd Nor didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mohd Nor diwakili peguam  Fahmi Abd Moin manakala pihak pendakwa diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Ja’afar.

Keluarga tertuduh turut hadir di mahkamah pagi tadi. – 25 Julai, 2019.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen