PENTING untuk mengetahui bagaimana “Awang Besul”, harimau yang ditemui di sebuah kampung di Dungun, Terengganu, menghidap Canine Distemper bagi menghentikan penyebaran virus itu kepada hidupan liar lain, kata pakar harimau WWF-Malaysia.
Dr Mark Rayan memberitahu The Malaysian Insight yang pihak berkuasa masih tidak pasti bagaimana harimau itu memperoleh virus berkenaan tetapi penting untuk ia diketahui bagi membendungnya.
Kata beliau, virus itu biasanya didapati daripada anjing dan kucing tempatan tetapi ia juga turut ada pada anjing hutan.
“Harimau diketahui membunuh anjing, mungkin ia tersesat terlalu hampir dengan beberapa kampung dan membunuh seekor anjing. Salah satu kes yang diketahui adalah di Rusia apabila ada harimau juga tersesat ke bandar selepas diserang virus itu.
“Ia didokumenkan penyakit itu menyebabkan terhapusnya populasi kecil singa di Afrika.
“Setelah terkena penyakit, virus itu mensasarkan sistem saraf pusat menyebabkan haiwan berkenaan menjadi bingung,” kata Mark.
Canine Distemper adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh paramyxovirus. Ia adalah penyakit yang banyak dialami karnivora liar dan tempatan dan memberi kesan kepada rakun, musang dan skunk.
Ia mula menunjukkan gejala dalam 10 hingga 14 hari selepas jangkitan, dan termasuk keluar cecair pada mata dan hidung, kesukaran bernafas, batuk dan pneumonia. Demam, anoreksia dan masalah saluran pernafasan adalah perkara biasa.
Jangkitan boleh berlaku melalui air liur, air kencing, najis dan rembesan lain daripada haiwan yang dijangkiti.
Tiada ubat untuk penyakit ini melainkan rawatan sokongan. Justeru, langkah pencegahan penting untuk memastikan ia tidak berjangkit.
Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara, dalam satu kenyataan pada Selasa berkata walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan Awang Besul, yang dihantar ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Negara di Sungkai, Perak, untuk rawatan, harimau jantan itu akhirnya mati. – 25 Julai, 2019.

Komen