Harimau Malaya kini dalam senarai haiwan paling terancam


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

Harimau Malaya diancam kepupusan dengan kini dianggarkan hanya tinggal 200 ekor haiwan itu di Semenanjung Malaysia. – Gambar EPA, 25 Julai, 2019.

DIBURU dan kemudiannya dijual secara haram di pasaran gelap menjadi ancaman terbesar bagi Harimau Malaya, kata aktivis, menambah haiwan itu kini diletakkan dalam senarai “spesies terancam”.

WWF-Malaysia berkata dianggarkan terdapat kurang 200 harimau Malaya yang masih ada di Semenanjung. Terdapat kira-kira 3,000 haiwan itu pada 1950-an dan jumlahnya berkurangan kepada 250-340 ekor pada 2015.

“Kita perlukan lebih ramai orang meronda di hutan,” kata Dr Mark Rayan daripada WWF-Malaysia kepada The Malaysian Insight.

Katanya, walaupun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) mempunyai 200 pegawai mengawal kawasan utama, ia masih sedikit kerana 2,000 kakitangan diperlukan.

Mark yang juga pakar tentang harimau berkata ada tanda menunjukkan peningkatan aktiviti pemburuan haram sejak beberapa tahun lalu di Malaysia.

“WWF melihat di kawasan Belum-Temengor di Perak dan mendapati jumlah jerat semakin bertambah,” katanya.

Mard berkata jerat itu mungkin dipasang oleh pemburu dari negara Indochina.

“Menurut rekod kami, hampir tiada lagi harimau di sana menyebabkan mereka mula memburu di Malaysia,” katanya.

Perhilitan, NGO dan WWF-Malaysia pada masa ini sedang menjalankan kaji selidik tentang harimau dan keputusannya dijangka siap pada tahun depan.

Harimau Malaya biasanya ditemui di hutan di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Harimau berbeza daripada haiwan lain dan tidak boleh dibiakkan dalam persekitaran tawanan kerana anak harimau perlu belajar berburu daripada ibunya selama dua tahun setengah bagi membolehkan ia hidup di hutan. – Gambar EPA, 25 Julai, 2019.

Menurut Traffic, satu jaringan pemantauan dagangan haiwan liar, Harimau Malaya kini berada dalam senarai haiwan paling terancam.

Analisis Traffic tahun lalu tentang tangkapan harimau menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 40 serbuan dilakukan pihak berkuasa dari 2000-2015 dengan minimum 103 harimau dirampas.

Dua warga Vietnam didenda RM1.56 juta dan penjara dua tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Mei kerana memiliki 141 anggota haiwan seperti kambing gurun, tapir, harimau bintang, beruang matahari, kucing batu, babi hutan dan 22 jerat.

Selain pemburuan haram, Harimau Malaya juga sukar mencari makanan ruji yang penting untuk dietnya iaitu rusa sambar, yang turut pupus kerana aktiviti berburu, kata Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman.

“Ancaman lain termasuk pembersihan hutan dan pemecahan yang menyebabkan kehilangan habitat,” kata Meenakshi kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata moratorium terhadap pemburuan rusa diperkenalkan pada November 2016 tetapi hanya akan berkuat kuasa pada November 2021.

Mark berkata tidak ada harimau yang dibiakkan ketika disimpan dan dibebaskan semula di Malaysia.

“Harimau berbeza daripada haiwan lain. Kita tidak boleh biak mereka dan kemudian bebaskan mereka dalam hutan.

“Anak harimau perlu belajar berburu daripada ibu mereka dan ia mengambil masa dua tahun setengah untuk mereka.

“Sukar untuk mengajar harimau untuk memburu ketika berada dalam persekitaran pembiakan tawanan dan ia sangat mahal. Ada beberapa usaha dijalankan di seluruh dunia, tetapi ia mahal dan kesannya tidak begitu berjaya,” kata Mark. – 25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen