LANGSUNG: Ancaman bom palsu, perbicaraan Najib diteruskan


Bede Hong Timothy Achariam

Perbicaraan kes SRC International Najib Razak disambung semula selepas polis mengesahkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bebas ancaman bom. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2019.

PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak diteruskan hari ini selepas pendengaran semalam ditangguhkan apabila peguam kanan pasukan pembelaan tidak hadir kerana tidak sihat dan komitmen lain.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan peguam bela, Harvinderjit Singh, yang akan meneruskan soal balas bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu, cuti sakit.

Peguam utama Muhammad Shafee Abdullah berada di mahkamah lain kerana menghadiri kes pelanggaran saman kontrak oleh National Feedlot Corporation terhadap Public Bank.

Peguam kanan Najib yang lain, iaitu Farhand Read, bekas peguam cara negara Yusof Zainal Abiden, S. Devanandan dan Kamarul Hisham Kamaruddin juga tidak hadir.

Peguam V. Sithambaram memberitahu mahkamah beliau menerima panggilan telefon pada jam 6.30 pagi semalam daripada Harvinderjit berhubung penyakitnya.

Bagaimanapun, Sithambaram berkata saksi lain yang dijadualkan memberi keterangan minggu depan, tidak boleh dipanggil kerana tempoh terlalu singkat.

Selepas Sithambaram memberi jaminan yang kes pendakwaan boleh selesai sebelum tarikh akhir ditetapkan iaitu 16 Ogos, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 9 Ogos, Jumaat, sebagai hari ganti. Beliau juga berkata pasukan pembelaan mesti mengemukakan sijil perubatan.

Hari ini, Harvinderjit dijangka meneruskan soal balas terhadap Yu dengan memberi tumpuan kepada hubungannya dengan Low Taek Jho dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Yu semalam berkata beliau bertemu dua lelaki itu pada 2008, setahun sebelum 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibentuk.

Yu yang berusia 48 tahun itu berkata beliau bertemu Low ketika pengumpulan dana untuk Majestic Masterpiece Sdn Bhd, sebelum menjadi penasihat khas kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), dana kekayaan negeri yang diambil alih oleh Menteri Kewangan Diperbadankan pada 2009 dan dinamakan semula sebagai 1MDB.

Yu berkata beliau bertemu dengan Nik Faisal dalam urus niaga firma minyak Arab Saudi, PetroSaudi International Ltd yang berhasrat mendapatkan Utama Banking Group Bhd (UBG), yang dipegang oleh Majestic Masterpiece.

Yu berkata menghubungi Low untuk mempercepatkan pembayaran tunai bagi mengelakkan cek bekas perdana menteri Najib ditendang, sambil menambah tidak pernah menerima arahan daripada Low berhubung urus niaga lain.

Beliau memberitahu mahkamah pernah diminta meninggalkan AmBank pada 2015, di mana beliau bekerja selama dua dekad, susulan tekanan yang semakin meningkat berikutan serbuan Bank Negara terhadap cawangan Raja Chulan di Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.

Keadaan ini bertambah buruk selepas AmBank didenda RM53.7 juta pada November tahun itu kerana gagal melaporkan transaksi mencurigakan yang berkaitan dengan akaun Najib.

Katanya, rakan pengurus perhubungan, Daniel Lee dan Krystle Yap turut meninggalkan bank selepas itu. Yu juga berkata beliau kemudiannya membawa AmBank ke mahkamah.

Tuduhan Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International dan dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Najib menghadapi tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.

Najib, 66, diwakili oleh sekumpulan peguam yang diketuai oleh Shafee manakala Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

3.28pm: Nazlan berkata oleh kerana  pemeriksaan balas bergantung penuh kepada perbualan BlackBerry Messenger, maka perbicaraan ditangguhkan dan akan disambung pada Isnin, jam 9 pagi.

3.25pm: Harvinderjit memohon kebenaran Nazlan untuk diberi masa log perbualan. Beliau memohon supaya perbicaraan hari ini ditangguhkan. Sithambaram setuju.

3.10pm: Prosiding berhenti 15 minit untuk memberi laluan kepada pasukan pembelaan memeriksa perbualan BlackBerry Messenger.

2.45pm: Prosiding diteruskan.

Sithambaram memberitahu Nazlan pasukan pembelaan akan memberi beberapa bahagian mesej perbualan BlackBerry Messenger yang tiada dalam senarai bahan bukti. Sithambaram berkata ia tidak dimasukkan sebagai bukti kerana tidak relevan dengan kes.

Beliau memberitahu hakim terdapat mesej perbualan selebihnya untuk diteliti oleh pasukan pembelaan. 

2.35pm: Ketua Polis IPD Sentul, Asisten Komisioner S. berkata Shanmugamoorthy mereka tidak menemui apa-apa yang mencurigakan selepas pemeriksaan selama sejam setengah dijalankan.

“Kami memeriksa kawasan (mahkamah) tetapi tidak menemui apa-apa. Kami akan terus menyiasat perkara ini.”

Terdahulu, Shanmugamoorthy memberitahu pemberita Balai Polis Taman Tun Dr Ismail menerima panggilan pada pukul 11 pagi tadi mengenai ancaman bom di mahkamah dari pemanggil yang tidak dikenali.

“Saya tak akan anggap ia panggilan palsu. Tetapi buat masa ini, kita tak temui apa-apa.”

Beliau berkata polis akan menjejaki panggilan tersebut. 

2.30pm: Prosiding bersambung selepas polis mengesahkan tiada bom. Kompleks mahkamah kini dibuka semula.

12.48pm: Ancaman bom itu dipercayai diterima melalu panggilan dari orang awam. Sumber panggilan ancaman masih belum dapat dipastikan.

Menurut sumber, polis memerlukan masa untuk memeriksa seluruh kompleks.

Pihak polis mengarahkan orang ramai meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas menerima ancaman bom. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2019.

12.29pm: Hakim Nazlan menangguhkan prosiding dan semua orang diminta mengosongkan mahkamah. Beliau berkata tidak tahu bila perbicaraan akan disambung semula.

Orang ramai di dalam kompleks mahkamah mula keluar dari bangunan, kebanyakannya hanya menunggu di pintu masuk. Polis mengepung pintu masuk ke kompleks mahkamah dan tidak membenarkan sesiapa menghampirinya.

12.13pm: Joanna memberitahu mahkamah Jho Low bertegas mahu semua penyata akaun diambil dari cawangan bank dan tidak dihantar ke rumah Najib seperti amalan biasa.

Dalam satu mesej teks kepada Yu apabila dicadangkan ia dihantar ke rumah Najib, Low menjawab:

“Tidak! Tidak! Tidak! Jangan lakukan itu. Terlalu banyak maklumat sensitif.”

12.02pm: Harvinderjit bertanya Yu mengenai nama kod “MNR”, yang digunakan untuk merujuk kepada akaun Najib.

Harvinderjit: (Jho Low) tidak memberitahu anda akaun ini akan digunakan untuk dana haram?

Yu: Tidak. Beliau tidak memberitahu saya perkara itu.

Yu berkata alasan bagi nama kod “MNR” adalah agar orang tidak dapat melihat nama Najib pada mana-mana penyata atau transaksi.

11.42am: Harvinderjit: Adakah Jho Low memberitahu anda pada ketika itu yang alasan untuk (membuka) akaun itu adalah Najib menjangkakan menerima derma dari Arab Saudi?

Yu: Beliau secara ringkas menyebut terdapat dana masuk tetapi saya tidak ingat beliau mengatakan “derma”.

Yu berkata saksi terdahulu, bekas pengarah urusan AmBank, Cheah Tek Kuang, mengendalikan pembukaan akaun Najib dan Yu hanya menyediakan segala kertas berkaitan untuk membuka akaun.

11.40am: Harvinderjit bertanya sama ada Yu pernah membaca buku Bradley Hope dan Tom Wright, “Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World”.

Beliau bertanya kepada Yu jika pernah menghantar penulis buku petikan perbualan antara beliau dan Low. Yu menjawab tidak dan mengatakan tidak berhubung dengan mereka.

Harvinderjit memberitahu akan kembali kepada perkara itu nanti. Beliau kini bertanya kepadanya mengenai proses pembukaan akaun. Yu berkata Low pada awal 2011, bertanya mengenai pembukaan akaun untuk Najib.

11.08am: Selepas berhenti rehat selama 20 minit, sesi soal balas Yu diteruskan.

10.09am: Harvinderjit mula meneliti penyata akaun Putra Perdana dengan Yu.

9.57am: Yu berkata Low adalah pelanggan beliau dan bank yang terbesar dari segi perniagaan yang dibawa masuk. Yu menambah tidak mendapat sebarang komisen daripada urus niaga dengan Low dan hanya menerima bonus, yang sangat dikawal oleh bank dan berdasarkan prestasinya.

9.50am: Harvinderjit: Adakah Jho Low jenis seseorang yang bertindak balas kepada sesuatu perkara berbanding merancangnya?

Yu: Errr ... Saya rasa ya.

Harvinderjit: Dengan (berkenaan dengan) akaun yang terlebih keluar dan semua urus niaga terakhir; bolehkah anda mengatakan Jho Low tidak bersedia?

Yu: Saya rasa begitu, tetapi mereka tidak tahu bila akaun terlebih keluar.

9.45am: Harvinderjit bertanya Yu jika beliau berpendapat Nik Faisal menerima arahan daripada Low berhubung akaun semasa Najib. Memandangkan Nik Faisal adalah pemegang mandat akaun, Harvinderjit bertanya kepada Yu sekiranya Nik Faisal memainkan peranan subordinat kepada Low.

Yu: Saya tidak boleh mengatakannya. Kami hanya boleh melakukan transaksi akaun seperti yang diarahkan oleh Nik Faisal.

9.26am: Peguam bertanya kepada Yu apakah Low menghantar mesej yang mengarahkannya untuk membuang semua perbualan mereka.

Yu: Ya, tetapi saya tidak membuangnya kerana saya tidak tahu bagaimana untuk melakukannya.

9.23am: Mereka mula meneliti log perbualan peranti mudah alih Blackberry Yu yang digunakannya untuk menghubungi Low, Nik Faisal dan lain-lain dalam urusan berkaitan SRC International.

9.14am: Perbicaraan dimulakan dengan Joanna Yu mengambil tempat di kandang saksi.

Harvinderjit mengemukakan sijil perubatannya kepada mahkamah kerana ketidakhadirannya semalam. Harvinderjit meneruskan soal balasnya dengan Yu. – 25 Julai, 2019.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen