6 maut, datuk bandar Mogadishu cedera dalam insiden letupan


Datuk bandar Mogadishu cedera dalam satu insiden bom di pejabat datuk bandar di ibu kota Somali semalam. – Gambar EPA, 25 Julai, 2019.

ENAM terbunuh manakala datuk bandar Mogadishu cedera dalam satu insiden bom di pejabat datuk bandar di ibu kota Somali semalam.

Militan Al-Shabaab yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu menyasarkan duta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Duta khas PBB James Swan bertemu Datuk Bandar Abdirahman Omar Osman dan baru saja meninggalkan pejabat itu, sebelum letupan berlaku di ibu pejabat di daerah Banadir.

“Enam orang termasuk dua pesuruhjaya daerah dan tiga pengarah terbunuh dalam serangan pengganas petang ini,” kata Menteri Penerangan Mohamed Abdi Hayir Mareye kepada media.

Sementara itu, datuk bandar, dan lima yang lain termasuk pesuruhjaya daerah cedera dalam insiden berkenaan dan sedang dirawat.

Al-Shabaab yang ada kaitan dengan Al-Qaeda mendakwa melakukan serangan itu yang dianggap sebagai operasi terancang, berkata mereka menyasarkan Swan.

Seorang sumber keselamatan berkata pengebom bunuh diri masuk ke kawasan dewan di mana pegawai kerajaan terbabit sedang bermesyuarat dan meletupkan bom dari dalam.

“Letupan itu sangat kuat, dan saya nampak orang melayang dengan ada yang cedera, di luar ibu pejabat pentadbiran Banadir,” kata seorang saksi.

Dalam satu kenyataan, Shabaab berkata mereka membunuh ramai musuh.

Mogadishu sering diserang oleh Shabaab, yang berjuang selama lebih sedekad untuk menggulingkan kerajaan Somali.

Pada Isnin, bandar itu diserang dengan bom kereta yang menyebabkan 17 mati sementara berpuluh yang lain cedera. – AFP, 25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen