KASTAM Sri Lanka pada Selasa memerintahkan pemulangan kontena yang berisi bahan klinikal dan sisa mayat seperti organ manusia yang diimport secara haram ke pulau itu dari Britain.
Pegawai Kastam berkata ia ditemui selepas pelabuhan Colombo mengadu minggu lalu yang terdapat pengimport meninggalkan 111 kontena dengan bau yang busuk.
Sejumlah 241 kontena diimport sejak 2017 dan 130 daripadanya dibawa ke zon perdagangan bebas seolah-olah untuk kitar semula dan pengeksportan semula, kata jurucakap kastam Sunil Jayaratne memberitahu AFP.
“Kami mengambil tindakan segera dengan mengarahkan pengeksportan semula 111 bekas yang ditinggalkan di pelabuhan itu,” kata Jayaratne.
“130 yang lain sudah dikeluarkan dari pelabuhan akan diuruskan di bawah undang-undang alam sekitar dan lain-lain.”
Beliau berkata kontena 130 itu disumbat dengan tilam terpakai dan sisa plastik serta klinikal diimport yang melanggar undang-undang antarabangsa bagi kawalan penghantaran bahan berbahaya.
Seorang ahli perniagaan Sri Lanka yang mengimport kontena akan dipertanggungjawabkan bagi pendakwaan jenayah jika gagal mengeksport semula kontena berkenaan ke Britain, negara asalnya, kata Jayaratne.
Seorang pegawai di Kementerian Kewangan, yang bertanggungjawab terhadap jabatan kastam, berkata ia akan membawa isu itu kepada pihak berkuasa British kerana mengeksport kargo berbahaya tanpa terlebih dahulu memeriksa apakah Sri Lanka bersedia menerimanya.
Sebanyak 130 kontena yang dibawa ke zon perdagangan bebas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Colombo menyebabkan pencemaran air dan mencemarkan udara di kawasan itu, katanya.
Tindakan Sri Lanka terhadap sampah yang diimport dibuat ketika Indonesia dan Filipina mengembalikan sampah asing ke pelabuhan asalnya.
Indonesia mengumumkan dua minggu lalu menghantar 210 tong sampah kembali ke Australia dan Kanada bersetuju menerima 69 kontena sampah yang dihantar ke Filipina antara 2013 dan 2014. – AFP, 25 Julai, 2019.
Komen