Ketua pembangkang Rusia dipenjarakan 30 hari


Ahli politik pembangkang Alexei Navalny dijatuhi hukuman penjara 30 hari, dalam usaha pihak berkuasa Rusia menghancurkan gelombang baharu protes terhadap kerajaan. – Gambar AFP, 25 Julai, 2019.

POLIS Rusia menyerbu rumah beberapa ahli politik pembangkang semalam, sejurus selepas pengkritik Kremlin, Alexei Navalny dijatuhi hukuman penjara 30 hari, dalam usaha jelas dilakukan pihak berkuasa untuk menghancurkan gelombang baharu protes terhadap kerajaan.

Kekerasan terbaru terhadap ahli politik pembangkang itu dilancarkan ketika mereka berjuang untuk mendapat undi dalam pilihan raya Parlimen Moscow pada September ketika rating sokongan terhadap Presiden Vladimir Putin makin merosot.

Lebih 22,000 orang berkumpul di dataran Moscow pada Sabtu lalu, demonstrasi terbesar sejak bertahun yang lalu, susulan rakyat semakin marah apabila pihak berkuasa enggan membenarkan calon bebas bertanding.

Navalny mendesak himpunan lebih besar, berhampiran pejabat datuk bandar Moscow pada 27 Julai jika pihak berkuasa tidak mendaftarkan calon pembangkang.

Pembangkang berkata pihak berkuasa melancarkan kekerasan terbaru itu untuk menyekat rancangan itu.

Semalam, polis menyerbu rumah sekutu Navalny, Dmitry Gudkov dan Ivan Zhdanov yang juga calon bebas yang diharamkan bertanding pada pilihan raya September depan. – AFP, 25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen