Umno tetapkan tiada kerjasama dengan DAP


SM Amin

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bersama ahli Majlis Tertinggi parti itu pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Julai, 2019.

MAJLIS Tertinggi Umno mengambil ketetapan hanya Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dibenarkan untuk mengadakan rundingan dengan parti-parti lain bagi membentuk kerjasama politik.

Majlis Tertinggi (MT) Umno juga menetapkan syarat bahawa sebarang perbincangan atau perundingan tersebut perlu mematuhi syarat iaitu tiada kerjasama dengan DAP secara langsung atau tidak langsung.

“Jika ada pihak-pihak di luar Umno dan PAS yang menjemput untuk mengadakan perbincangan dalam apa jua bentuk kerjasama politik, MT telah ambil keputusan muktamad hanya presiden yang boleh mewakili Umno. Tiada tokoh atau individu lain.

“Sebarang perbincangan mesti mematuhi apa yang diputuskan iaitu kita tidak akan mengadakan rundingan dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan selagi mana mereka bekerjasama dengan DAP,” kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun kata Zahid, presiden Umno tidak diwajibkan untuk merujuk semula kepada MT Umno hasil perbincangan itu dan tertakluk kepada budi bicara beliau untuk berbuat demikian.

Menurut Zahid, Umno mengambil ketetapan untuk menolak sebarang kerjasama dengan DAP kerana konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa oleh parti itu tidak selari dengan perjuangan Umno.

“Kita menolak pelaksanaan agenda halus DAP terhadap konsep Malaysian Malaysia termasuk dalam dasar kementerian yang diwakili oleh anggota kabinet dari parti berkenaan

“Mereka seharusnya memberi keutamaan kepada agenda nasional. Umno tidak boleh terima agenda halus ini,” katanya.

Ini merupakan kali kedua MT Umno memberi kepercayaan kepada Zahid untuk mengadakan sebarang rundingan kerjasama politik dengan parti-parti selepas parti terbesar Melayu itu tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu.

Zahid yang ketika itu menjalankan tugas-tugas Presiden Umno diberi kepercayaan untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak, sama ada untuk pembentukan kerajaan atau pembangkang di negeri-negeri.

Bagaimanapun, rundingan bersyarat itu harus dilakukan secara ‘en-bloc’ atau secara bersama dan bukannya secara individu.

Mengulas mengenai kerjasama Umno dan PAS, Zahid berkata setiausaha agung (SUA) Umno dan PAS akan mengeluarkan kenyataan bersama esok berhubung tarikh piagam kerjasama itu akan ditandatangani.

“MT telah mengambil keputusan bahawa kerjasama dengan PAS berlandaskan taawun siyasi telah diterima sebulat suara oleh ahli-ahli MT.

“SUA Umno dan PAS akan buat kenyataan bersama esok untuk maklumkan kepada khalayak umum tentang tarikh tandatangani piagam itu. Kita amat hargai komitmen PAS untuk pelaksanaan piagam ini,” katanya. – 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen