PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bertemu senator parti Republikan di White House pada Selasa bagi membincangkan isu pembelian sistem pertahanan udara Rusia S-400 oleh Turki, lapor agensi berita Anadolu.
Pertemuan dengan 45 senator itu termasuk Lindsey Graham, Ted Cruz, Mitch McConnell, Rand Paul, Marco Rubio dan Todd Young, berlangsung selama 90 minit.
Mereka dilaporkan berbincang mengenai kemungkinan mengenakan undang-undang persekutuan Menentang Musuh Amerika Melalui Akta Sekatan (CAATSA) ke atas Turki susulan pembelian peluru berpandu Rusia oleh negara itu.
White House belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu itu.
Pada Khamis, Trump mengeluarkan beberapa kenyataan bercanggah berhubung isu sama ada AS akan mengenakan sekatan terhadap Turki.
Beliau pada mulanya berkata sekatan itu tidak dipertimbang “pada masa ini” sebelum memberitahu pemberita bahawa “kami sedang meneliti perkara tersebut.”
Presiden itu berkata situasi tersebut “amat amat sulit” dan menuding jari ke arah pendahulunya, bekas presiden Barack Obama, bagi pertikaian berkenaan.
Minggu lepas, pentadbiran Trump memulakan proses penyingkiran Turki daripada program pesawat pejuang F-35 susulan pemerolehan sistem S-400 oleh negara itu. Penyingkiran itu dijangka selesai pada akhir Mac 2020.
Turki mendakwa langkah itu diambil susulan usaha berterusan untuk membeli sistem pertahanan AS berakhir dengan kegagalan, yang menyaksikan Ankara memeterai kontrak pembelian S-400 daripada Rusia pada 2017.
Para pegawai AS berhujah yang sistem pertahanan Rusia itu tidak sesuai dengan sistem Nato dan berkemungkinan mendedahkan F-35 kepada muslihat Rusia.
Turki, bagaimanapun, menegaskan S-400 tidak akan diintegrasi ke dalam sistem Nato dan tidak akan mendatangkan ancaman kepada pakatan itu.
Ia menggesa agar satu kumpulan kerja dibentuk untuk memperjelas sebarang isu teknikal, namun AS gagal memberi maklum balas kepada cadangan ini.
Penyerahan komponen S-400 bermula pada 12 Julai dan dijangka berterusan sehingga April 2020. – Bernama, 24 Julai, 2019.
Komen