Proses damai selatan Thailand terhenti kerana kurang komitmen kerajaan


Konflik di selatan Thailand masih berlarutan yang mana kira-kira 7,000 orang maut di empat wilayah di selatan Thailand - Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla sejak ia meletus pada 2004.– Gambar EPA, 24 Julai, 2019.

PROSES perdamaian untuk menamatkan konflik di selatan Thailand terhenti akibat kurangnya komitmen, keikhlasan dan keazaman polititik yang kuat daripada kerajaan Thailand, kata Majlis Syura Patani (Mara Patani).

Justeru, jurucakapnya, Abu Hafez Al-Hakim menggesa pemimpin dan komuniti antarabangsa untuk membantu mencari penyelesaian politik bagi menamatkan keganasan di selatan negara itu.

Beliau berkata pendekatan ketenteraan yang digunakan oleh kerajaan setakat ini gagal membendung kejadian keganasan dan konfrontasi tetapi sebaliknya permusuhan dan tindakan balas daripada kumpulan pemisah meningkat.

“Proses perdamaian sekarang yang menjanjikan harapan kepada rakyat sering terhenti akibat kurangnya komitmen, keikhlasan dan keazaman politik yang kuat.

“Hanya melalui penglibatan dan sokongan antarabangsa, penyelesaian politi yang sebenar dapat dicapai demi keamanan yang adil, komprehensif dan berkekalan di Pattani,” katanya dalam surat terbuka.

Surat terbuka dikirim kepada pemimpin dan pertubuhan dunia yang terkemuka termasuk Perdana Menteri Thailand dan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Asean, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Geneva Call dan Amnesty International.

Abu Hafez berkata konflik di Patani bukan lagi merupakan isu domestik Thailand tetapi menjadi salah satu isu serantau yang memerlukan campur tangan antarabangsa.

“Ia bersifat politik dengan puncanya yang berakar umbi dari sejarah perlu ditangani. Justeru, pendekatan untuk menyelesaikan konflik mestilah bersifat politik bukan melalui kekerasan atau penindasan.

“Semua undang-undang yang zalim dan tidak adil yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat hendaklah dimansuhkan serta-merta dan tanpa syarat memandangkan kerajaan yang dipilih sekarang memegang tampok kuasa. Rakyat Patani mesti diberi hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri seperti dijamin oleh Piagam PBB, “katanya.

Setakat ini, kira-kira 7,000 orang maut dalam konflik di empat wilayah di selatan Thailand - Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla sejak ia meletus pada 2004.

Pada 3 Februari, Mara Patani menggantung rundingan damai sehingga pilihan raya umum Thai pada 24 Mac selesai kerana keengganan ketua panel perunding kerajaan Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat untuk bertemu dengan panel perundingan Mara Patani di Kuala Lumpur.

Malaysia memilih bekas Ketua Polis Negara Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu untuk proses damai.

Sementara itu, dalam surat terbuka, Mara Patani juga menggesa pemimpin dunia campur tangan selepas seorang tahanan, yang di bawah tahanan pihak berkuasa mengalami kecederaan semasa proses soal siasat.

Beliau berkata lelaki berusia 32 tahun itu yang ditahan oleh anggota keselamatan dan dibawa ke Kem Tentera Inkhayut Borihan Sabtu lalu untuk disoal siasat ditemukan tidak sedarkan diri di bilik mandi pusat tahanan beberapa jam kemudian pada Ahad.

Lelaki itu dikejarkan ke Hospital Pattani dan kemudian didapati menghidap “acute cerebral edema” akibat hypoxia dan keadaannya kritikal.

“Kami terkejut dan sedih dengan insiden terbaru ini di Selatan ... Kami mengutuk keras perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini, pelanggaran hak asasi manusia dan kecuaian melampau semasa proses soal siasat.

“Pemimpin dunia tidak lagi perlu berdiam diri dengan menyaksikan kekejaman ini yang dilakukan oleh pihak tentera Thailand tanpa dihalang dan pelakunya terlepas daripada hukuman. Ini untuk memastikan tragedi sama yang tidak diingini dapat dielakkan pada masa akan datang, ” katanya. – Bernama, 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen