Pekerja khidmat penghantaran, pasar raya Korea Selatan boikot produk Jepun


Kesatuan pekerja khidmat penghantaran di Korea Selatan berkata, kempen itu bermula ke atas barangan syarikat pakaian Jepun, Uniqlo. – Gambar AFP, 24 Julai, 2019.

PEKERJA khidmat penghantaran dan pasar raya di Korea Selatan di bawah Gabungan Kesatuan Sekerja Korea hari ini mengesahkan akan turut serta memboikot produk negara Jepun, lapor agensi berita Yonhap. 

Kesatuan Perpaduan Pekerja Penghantaran Bungkusan dan Kesatuan Pekerja Pasaraya Korea mengumumkan menyertai boikot itu dalam sidang media yang diadakan secara berasingan di Seoul.

Boikot produk Jepun merebak di kalangan pengguna selepas Jepun mula mengenakan sekatan ke atas eksport tiga bahan utama yang digunakan syarikat cip Korea Selatan.

Dalam satu sidang akhbar di hadapan Kedutaan Jepun di Seoul, kesatuan pekerja khidmat penghantaran berkata, kempen itu bermula ke atas barangan syarikat pakaian Jepun, Uniqlo.

Kesatuan itu berkata ahlinya tidak akan membuat sebarang penghantaran untuk semua produk Uniqlo. Selain itu, pihak kesatuan akan memuat naik gambar semua produk keluaran Uniqlo yang diboikot ke media sosial, di samping pelekat anti Jepun ditampal di setiap trak penghantaran. 

Uniqlo terus menerima kritikan pengguna selepas seorang eksekutif memperlekeh usaha memboikot produk Jepun di Korea Selatan pada 11 Julai lalu, walaupun syarikat itu kemudian telah mengemukakan permohonan maaf. 

Kesatuan Pekerja Pasaraya Korea pada sidang akhbar di Stesen Seoul berikrar, bahawa pekerja gabungannya di tiga peruncit utama negara - E-Mart, Lotte Mart dan Homeplus - tidak akan menyediakan khidmat penerangan mengenai produk Jepun.

Kesatuan turut menggesa tiga pasar raya utama itu menggantung jualan produk Jepun di kedai mereka di seluruh negara. – Bernama, 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen