PERANCIS, Jerman, Sepanyol dan United Kingdom (UK) telah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan terkini Israel memusnahkan kediaman penduduk Palestin di tenggara Baitulmaqdis, lapor agensi berita Turki memetik laporan bersama beberapa negara.
Dalam kenyataan bersama kerajaan empat negara, mereka “kekal mempunyai kebimbangan yang serius dengan pemusnahan berterusan hartanah milik penduduk Palestin oleh pihak berkuasa Israel.”
“Dalam semua keadaan kecuali yang paling luar biasa, pemusnahan di wilayah yang diduduki adalah bercanggah dengan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Amalan itu menyebabkan kesengsaraan yang tidak sewajarnya kepada rakyat biasa Palestin dan membahayakan proses damai,” menurut kenyataan itu.
Pada Isnin, jentolak yang diiringi beratus-ratus tentera Israel telah memasuki kejiranan Wadi Homs di Baitulmaqdis Timur dan mula merobohkan beberapa bangunan di kawasan itu.
Pihak berkuasa Israel mendakwa bangunan terbabit telah dibina tanpa permit.
Israel telah menduduki Baitulmaqdis Timur, yang menempatkan Masjid Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967.
“Dalam kes khusus ini, tindakan pemusnahan itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana beberapa bangunan terbabit terletak di kawasan A dan B di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Palestin berdasarkan Perjanjian Oslo, oleh itu merupakan satu pelanggaran terhadap perjanjian ini. Mereka telah melakukan satu duluan berbahaya yang secara langsung menjejaskan penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Rusia menggesa Israel agar berhenti memusnahkan kediaman penduduk Palestin.
Menurut kenyataan bertulis yang dikeluarkan Kementerian Luar Rusia, tindakan Israel di tenggara Baitulmaqdis itu diisytihar sebagai tidak sah di sisi undang-undang. – Bernama, 24 Julai, 2019.
Komen