Panggil 'Azmin semburit', ahli PKR gesa Farhash dihukum


Bede Hong

Lima ahli PKR Selangor membuat aduan kepada lembaga disiplin parti supaya tindakan diambil terhadap Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kerana menggelar Mohamed Azmin Ali 'semburit' atau homoseksual. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Julai, 2019.

SEORANG ahli PKR Selangor menggesa lembaga disiplin parti mengambil tindakan terhadap Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kerana secara terbuka menggelar Mohamed Azmin Ali “semburit” atau homoseksual.

Bekas timbalan ketua penerangan PKR Selangor, K. Gunasekaran yang ditemani empat penyokong berkata pengerusi PKR Perak itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati timbalan presiden dan parti.

“Polis sudah kata pelaku dalam video tak dapat dikenal pasti. Bila dia teriak ‘Azmin semburit’ semalam, itu satu kesalahan.

“Dia tak hormat aspirasi PKR. Kita mahu Pengerusi Lembaga Disiplin Ahmad Kassim ambil tindakan,” katanya, ketika ditemui di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Menurut Gunasekaran, parti sebelum ini telahpun memecat bekas ketua PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang kini disiasat berhubung skandal seks video membabitkan dirinya dan seorang lagi individu yang dikatakan mirip Azmin.

“Kami mahu lembaga ambil tindakan untuk menunjukkan parti mementingkan disiplin,” katanya sambil menambah akan memberi tempoh 90 hari kepada lembaga disiplin parti untuk meneliti surat aduan yang dikemukakan serta menimbang apakah tindakan seterusnya.

Bagaimanapun, Gunasekaran enggan menyatakan apakah Farhash patut dipecat atau digantung daripada tugas.

Bekas timbalan ketua penerangan PKR Selangor, K. Gunasekaran berkata pengerusi PKR Perak itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati timbalan presiden dan parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Julai, 2019.

Farhash yang juga setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, semalam membuat ucapan berapi-api semalam kepada penyokongnya selepas dibebaskan polis yang menyiasat kaitannya dengan video seks itu.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan melaungkan “Anwar for PM” dan “Azmin semburit” yang disambut laungan penyokongnya.

Selain itu, Farhash menuduh polis tidak profesional dalam menyiasat video seks itu.

“Saya tidak kelihatan seperti Azmin Ali, kenapa mereka tak panggil dan ambil kenyataan dia. Tetapi mereka pilih tahan saya seperti seorang pembunuh,” katanya. 

Menyifatkan penahanannya sebagai “konspirasi politik” terhadap ketuanya iaitu Anwar, Farhash mencabar Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk menangkap Azmin.

Farhash adalah antara sembilan orang yang direman untuk membantu siasatan video seks yang didakwa melibatkan Azmin dan Haziq.

Haziq turut dibebaskan semalam bersama-sama Farhash, sebelum ini mengaku adalah pelaku dalam video tular itu. Beliau turut mendakwa seorang lagi pelaku ialah Azmin, tuduhan yang sudah dinafikan menteri hal ehwal ekonomi itu. – 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen