ENAM tahun bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menjadikan mereka berdisiplin tinggi dan berdikari, kata dua panelis pada sebuah forum malam tadi.
Nurhashekin Abd Ghani dan E. Nasaruddin berkata cara pembelajaran di sekolah SJKC meningkatkan kemahiran berfikir secara kritikal dan tiada masalah untuk bergaul dengan kaum lain di universiti.
“Di sekolah Cina selalu ada banyak kerja rumah dan ada masanya saya rasa nak menangis bila tengok kawan-kawan di Sekolah Kebangsaan tak ada kerja rumah semasa cuti sekolah,” kata Nurhashekin, 33.
Namun, beliau bersyukur pembelajaran cara itu membantunya apabila menghadapi tekanan semasa belajar di universiti dan seterusnya berjaya mendapat keputusan cemerlang.
“Bila saya sambung belajar di UiTM, saya tak ada masalah bila diberi tugasan yang banyak,” kata guru Bahasa Mandarin yang berasal dari Segamat itu.
“Antara perkara yang mula-mula anda pelajari apabila bersekolah di sekolah Cina ialah bagaimana nak uruskan masa dan berdisiplin.
“Disebabkan rotan memang biasa di semua sekolah Cina, jadi kita ada motivasi.”

Sementara itu, Nasaruddin, 51, berkata SJKC sebenarnya memberinya lebih daripada sekadar pendidikan.
Nasaruddin berkata apabila bersekolah di sekolah menengah harian biasa, beliau dapati sukatan pelajaran mereka ketinggalan daripada sekolah Cina pada akhir 70-an dan awal 80-an.
Menurut bapa empat anak itu, kebanyakan yang diajar semasa tiga tahun pertama di sekolah menengah telahpun beliau belajar semasa di SJKC.
“Saya terpaksa tunggu sehingga Tingkatan 3 untuk belajar benda baru. Ini kerana sukatan pelajaran sekolah rendah Cina sekurang-kurangnya tiga tahun ke depan,” kata ahli perniagaan itu. – 24 Julai, 2019.
Komen