EMPAT maut termasuk dua anggota keselamatan kampung dan dua lagi cedera parah dalam satu serangan di sebuah pondok pemeriksaan keselamatan di Kampung Kolaebi, Pakaharang, Daerah Muang, Pattani.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam tadi (waktu tempatan), sekumpulan individu, sekurang-kurang 10 orang yang lengkap dengan senjata api melepaskan tembakan dan melontar bom paip ke arah pondok yang terletak di jalan masuk Kg Kolaebi.
Ketua Polis Daerah Muang Pattani Kol Pol Yannapong Ubonban berkata ketika kejadian, 11 orang sedang bertugas di pondok pemeriksaan keselamatan bersepadu, gabungan tentera, sukarelawan dan penduduk kampung yang beroperasi 24 jam.
“Dua anggota sukarelawan dan dua lagi anggota keselamatan kampung meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi anggota sukarelawan cedera parah.
“Dalam insiden berbalas tembakan itu, kumpulan penyerang itu turut melontarkan bom paip ke arah pondok pemeriksaan keselamatan tersebut.
“Polis menemui lebih 100 butir kelongsong peluru jenis M16 dan AK47 di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kini, mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Pattani.
Menurut saksi di tempat kejadian, insiden berbalas tembakan itu berlanjutan hampir 10 minit sebelum kumpulan itu beredar dari tempat kejadian.
Kumpulan penyerang turut membakar tayar dan menabur paku di jalan-jalan masuk ke tempat kejadian bagi menghalang pasukan polis ke lokasi kejadian. – Bernama, 24 Julai, 2019.
Komen