MAHKAMAH Majistret Grik membenarkan tiga Orang Asli Temiar ditahan reman dua hari sehingga esok untuk disiasat kerana membuat halangan yang didakwa salah demi melindungi hak mereka ke atas tanah adat dekat Hutan Simpan Air Chepam di Hulu Perak.
Peguam mereka Thiyagu Ganesan berkata tiga lelaki yang ditangkap polis semalam dijadual dibebaskan esok.
“Pegawai penyiasat meminta empat hari tempoh reman bawah Seksyen 117 atas alasan siasatan lanjutan di bawah Kanun Keseksaan 341.
“Selepas hujah daripada pihak pembelaan, majistret membenarkan reman dua hari dan akan dilepaskan esok,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mereka yang ditahan ialah Johari Aleuj, Pam Yeek dan Shukri Man.
Dua daripada mereka juga tidak membawa kad pengenalan semasa ditahan semalam.
Dalam pada itu, Thiyagu berpendapat tempoh reman dua hari terhadap tiga lelaki itu tidak setimpal dengan apa yang didakwa kesalahan mereka.
“Polis ada banyak masa boleh ambil saja keterangan. Sepatutnya ini tidak berlaku dalam Malaysia baharu, kerajaan yang baharu ini,” katanya.
Thiyagu menjelaskan isu pencerobohan tanah adat oleh pembalak ini bukan isu baharu malah sudah ada banyak laporan polis mengenainya sejak 2015.
“Sejak 2015, dari Kampung Cunnex dan sekarang Kampung Sg Papan, kita tak tahu akan ada banyak lagi.
“Banyak laporan polis dibuat tapi sehingga kini tiada satu tindakan,” katanya.
Polis semalam turut merampas lima motosikal dan sebuah kamera dalam operasi meruntuhkan sekatan yang dibina Orang Asli Temiar di Kampung Sungai Papan untuk melindungi tanah adat mereka daripada diceroboh pembalak.
Seksyen 341 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menghalang secara salah membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semalam lebih 60 Orang Asli Temiar berhimpun di luar Balai Polis Gerik sebagai tanda solidariti kepada tiga rakan mereka yang ditahan. Mereka sekali lagi berhimpun di luar mahkamah semasa proses reman berlangsung kira-kira 9 pagi tadi.
Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Papan mendakwa pembalak cuba memasuki tanah adat mereka yang didaftar atas nama Ong Kensel sejak April lalu.
Pada Jumaat, mereka mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perhutanan Perak untuk membincangkan isu pencerobohan tanah adat Orang Asli.
Namun mereka dimaklumkan bahawa pembalak tersebut mempunyai permit yang diluluskan oleh exco negeri.
Anjang berkata mereka sudah meminta supaya ditunjukkan permit itu tetapi diberitahu dokumen tersebut “rahsia kerajaan”.
Pada Sabtu, Menteri Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional P Waytha Moorthy dalam reaksinya terhadap penahanan tiga Orang Asli itu berkata permit kerajaan negeri kepada pembalak tidak sah selagi status tanah adat tidak diputuskan mengikut undang-undang.
Katanya, mahkamah selama ini sudah mengiktiraf kedudukan tanah adat Orang Asli dan tindakan mengeluarkan permit membalak di tanah berkenaan melampui ketetapan undang-undang. – 24 Julai, 2019.
Komen