Boris Johnson PM baharu Britain


Boris Johnson akan disahkan sebagai perdana menteri Britain esok, apabila Theresa May menyerahkan notis peletakan jawatan secara rasmi kepada Ratu Elizabeth II. – Gambar AFP, 24 Julai, 2019.

BORIS Johnson menang pertandingan dan dipilih sebagai perdana menteri Britain hari ini, tetapi berdepan konfrontasi berhubung Brexit dengan Brussels dan anggota partinya sendiri, selain ketegangan diplomatik dengan Iran.

Bekas datuk bandar London itu menewaskan pencabarnya, Setiausaha Luar Jeremy Hunt dengan mudah dalam undian yang diadakan dalam kalangan anggota Parti Konservatif.

Beliau dijangka akan disahkan sebagai perdana menteri esok, apabila penyandang terdahulu, Theresa May menyerahkan notis peletakan jawatan secara rasmi kepada Ratu Elizabeth II.

Ia satu kejayaan baginya, tetapi tetapi Johnson yang dikenali dengan jenaka dan celopar itu mengambil alih jawatan berkenaan ketika politik di negara itu sedang bergolak.

Tiga tahun selepas undian pungutan suara meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), Britain kekal sebagai anggota, selepas penangguhan penarikan diri sebanyak dua kali ketika pertelingkahan berterusan di Parlimen yang berpecah.

Johnson mengetuai kempen Brexit pada 2016 dan berkata tarikh akhir 31 Oktober ini perlu dipatuhi, dengan atau tanpa perjanjian perpisahan dengan EU.

Namun Brussels berkata ia tidak akan merundingkan semula perjanjian yang dicapai dengan May, bertujuan memudahkan pengakhiran hubungan selama 46 tahun itu, tetapi ditolak ahli Parlimen.

Majoriti ahli perundangan menolak Brexit tanpa sebarang perjanjian, termasuk ramai rakan Johnson sendiri.

Tiga menteri menyatakan tidak akan berkhidmat di bawah Johnson, berkata memutuskan hubungan dengan rakan dagangan paling rapat Britain dengan tiada perjanjian amat tidak bertanggungjawab. – AFP, 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen