Inkues kematian Adib ditutup


Noel Achariam

Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2019.

INKUES menentukan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup selepas perbicaraan selama lima bulan didengar di mahkamah.

Koroner Rofiah Mohamad berkata tidak ada lagi saksi akan dipanggil dan mahkamah akan meneliti semua keterangan sebelum membuat keputusan.

“Kami menutup inkues ini dan pihak-pihak berkenaan boleh menghantar hujahan bertulis sebelum 21 Ogos.

“Selepas itu keputusan akan disampaikan,” katanya hari ini.

Inkues itu bermula pada 11 Februari dan setakat ini 30 saksi dipanggil memberi keterangan.

Adib, 24, seorang pegawai Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba dan penyelamat Subang Jaya, mengalami cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Rofiah juga berkata sudah cukup bukti untuk membuat penghakiman, tetapi tidak menetapkan tarikh untuknya.

Pegawai pengendali inkues Faten Hadni Khairuddin berkata mereka tidak akan membentangkan penghujahan mereka.

“Peguam untuk keluarga Adib berkata mereka akan menghantar hujah mereka.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menelitinya sebelum menghantar hujah mereka,” katanya.

Tambah Faten lagi, hujah itu akan membantu mahkamah membuat keputusan, tetapi ia tidak diwajibkan. – 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen