Skandal rokok seludup, ketua perisik Taiwan letak jawatan


KETUA perisikan Taiwan meletak jawatan selepas seorang ejen yang menemani Presiden Tsai Ing-wen dalam lawatan rasmi luar negara ditangkap kerana cuba menyeludup hampir 10,000 karton rokok.

Ketua Biro Keselamatan Nasional (NSB) Peng Sheng-chu meletak jawatan pada Isnin untuk bertanggungjawab atas kejadian itu, kata Pejabat Presiden.

Skandal itu melibatkan seorang ejen keselamatan dalam pasukan pengiring Tsai yang cuba membawa masuk 9,800 karton rokok melalui laluan VIP ketika pulang daripada lawatan rasmi ke Caribbean pada Isnin, kata Pentadbiran Kastam.

Ejen itu memesan rokok itu dalam talian di Taiwan, menyimpannya di gudang lapangan terbang dan cuba menyeludupnya melepasi kastam menggunakan laluan VIP untuk mengelak membayar cukai, menurut wakil rakyat pembangkang yang mendedahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan media tempatan.

Presiden dilaporkan “terkejut dan marah” dengan skandal itu dan mengarahkan siasatan dijalankan.

Presiden turut memuat naik kenyataan di Facebook pada Isnin untuk menerima kritikan awam.

“Kami akan bermuhasabah dan menyemak semula (prosedur) untuk mengelak skandal sebegitu berulang lagi,” tulis Tsai yang sedang dalam perlumbaan mendapatkan penggal kedua presiden tahun depan.

Undang-undang kastam Taiwan menghadkan kemasukan maksimum lima karton rokok- dan hanya satu bebas cukai.

Skandal itu terbongkar selepas pihak berkuasa menerima laporan daripada wakil rakyat pembangkang, Huang Kuo-chang.

Rokok itu bernilai lebih AS$200,000 (RM824,500), kata Huang. – AFP, 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen