SEJAK 2015, badan masyarakat Laskar4Life dan Aku Budak Chow Kit memilih untuk mengadakan projek amal bersama Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit.
Ada dua program keraian jadi keutamaan. Pertama, memastikan majlis sambutan Aidilfitri dengan mengadakan jamuan dan pemberian duit raya. Manakala projek kedua, menyediakan lembu korban dan menganjurkan kenduri gotong-royong Aidiladha.
SBJK dibuka pada 19 Ogos, 2013 dengan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM). Lokasinya di nombor 39, Lorong Haji Hussein 2, Chow Kit, Kuala Lumpur.
Matlamat utama penubuhan sekolah ini untuk memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan dan perlindungan pada anak-anak gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
SBJK juga menempatkan remaja bermasalah yang tercicir dan gagal meneruskan persekolahan. Kewujudan sekolah ini magis bagi Chow Kit.
Sekolah ini mengubah imej Chow Kit yang sejak empat dekad lalu diselubungi sejarah gelap pelacuran, dadah dan jenayah. SBJK kini mencipta cahaya ilmu bagi remaja terpinggir. Kini terdapat 143 anak tercicir belajar di sekolah ini.
SBJK memfokuskan pendidikan membina kemahiran diri bagi pelajarnya meneruskan kehidupan dengan ilmu alternatif.
Fokus utama ialah mengasah potensi diri melalui pendidikan seni, muzik dan masakan. Malah, akhlak dan moral melalui pendekatan keagamaan.
Anak-anak berusia 13 hingga 18 tahun ini datang dari pelbagai latar belakang kehidupan. Majoritinya tercicir pendidikan kerana krisis kemiskinan keluarga. Ini satu fenomena senyap kerana jumlah pendedahannya remaja kategori ini kecil.
NGO mahu raikan anak gelandangan
Bagi NGO Aku Budak Chow Kit dan Laskar4Life, tahun ini sekali lagi mereka berusaha menganjurkan projek kenduri korban Aidiladha.
“Namun, cabarannya berbeza dengan suasana sejak lima tahun lalu. Kesukaran paling besar mendapatkan tajaan lembu korban.”
Bagi dua NGO yang digerakkan kaum buruh marhaen di kalangan peniaga kecil dan pekerja pasar, usaha paling mencabar tahun ini ialah mendapatkan dua ekor lembu.
“Dulu ekonomi sangat baik. Mudah dapat penaja sampai tiga ekor lembu dan empat ekor kambing,” kata Aniza Mehboob Shah, aktivis Laskar4Life.
“Tahun ini semuanya jadi perjuangan. Seekor lembu pun susah. Tapi, kami masih berusaha dan bermesyuarat dengan aktivis komuniti Jalan Abdul Rahman Idris serta Rukun Tetangga.”
Aniza berpengalaman sejak 2013 bekerjasama dengan rakan-rakan Aku Budak Chow Kit.
Memandangkan SBJK dalam kariah komuniti mereka, dua NGO ini menganggap kebajikan sekolah itu sebagai tanggung jawab sosial.
“Selain dua lembu, kami juga mengumpulkan derma untuk kos kenduri sekitar RM5,000. Kami mahu pastikan anak-anak gelandangan ini menikmati sekali lagi semangat Aidiladha,” kata Aniza.
Kes NGO seperti Laskar4Life dan Aku Budak Chow Kit adalah lumrah baharu. Sejak ekonomi menguncup dan pendapatan penyumbang tegar di kalangan peniaga Chow Kit jelas merosot, dana bagi kerja amal memerlukan sokongan pihak luar.
“Bisnes sekarang merudum dan perubahan sangat ketara. Komuniti peniaga kecil terjejas dan sumbangan derma juga merosot,” kata Aniza.
Aniza dibantu peniaga kedai runcit Jalan Abdul Rahman Idris, Azizan Ali. Anak muda yang konsisten mengetuai komuniti peniaga kecil untuk membantu pelbagai projek dan program amal sekitar Chow Kit.
“Selain projek membantu gelandangan di jalanan, kami menganggap remaja SBJK seperti anak-anak kami. Mereka berada di lokasi paling dekat dan kami mesti membantu,” kata Azizan.
Dua program berteraskan perayaan ibadah ini jadi keutamaan kerana Aniza dan Azizan mahu memastikan pelajar SBJK menikmati sambutan hari raya seperti remaja lain.
Bagi projek Aidil adha, paling tidak mereka mahu 143 pelajar ini dapat menjalankan aktiviti menyembelih, melapah, memasak dan menikmati juadah kenduri.
“Majlis akan disertai 500 tetamu undangan sekitar komuniti Chow Kit. Ini peluang untuk remaja tercicir bergaul dengan masyarakat di Kampung Baru,” kata Aniza.
Aniza dan Azizan antara 20 jawatankuasa program Aidiladha tahun ini. Sejak 2015, komuniti Chow Kit ini tidak pernah mengalah meneruskan usaha penganjuran program amal untuk pelajar SBJK.
Keunikan sekolah ini menjadi mercu tanda baharu di Chow Kit. Selain anak gelandangan, SBJK juga menerima pelajar yang tercicir daripada sistem persekolahan harian.
“Ada pelajar dibuang sekolah kerana ponteng yang panjang. Selalunya kerana isu kemiskinan. Ada juga anak-anak yang tidak diterima sekolah harian kerana isu kewarganegaraan. SBJK melindungi mereka. Sebagai komuniti Chow Kit, kami perlu membantu,” kata Azizan.
Sejak sebulan lalu, Aniza dan Azizan berhubung dengan pelbagai pihak untuk merayu tajaan. Cuma tahun ini agak mencabar untuk mencari dua ekor lembu korban. – 24 Julai, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen