Imran Khan akan jumpa Taliban


Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di Washington dalam lawatan rasminya yang pertama ke White House di mana beliau turut bertemu Presiden Donald Trump. – Gambar AFP, 24 Julai, 2019.

PERDANA Menteri Pakistan Imran Khan berkata beliau akan bertemu puak Taliban sebaik saja kembali ke negaranya dalam usaha mengakhiri perang selama 18 tahun di Afghanistan.

Khan berkata demikian di Washington dalam lawatan rasminya yang pertama ke White House yang menyaksikan beliau bertemu Presiden Donald Trump, sehari sebelumnya.

Katanya, beliau turut bercakap bersama Presiden Afghanistan Ashraf Ghani.

“Apabila saya kembali ke Pakistan, saya akan bertemu Taliban dan berusaha sebaiknya untuk memujuk mereka bercakap dengan kerajaan Afghanistan,” katanya.

Bercakap di Institut Keamanan AS, sebuah badan dwipartisan persekutuan, Imran berkata beliau dihubungi oleh Taliban beberapa bulan lalu selepas memenangi pilihan raya negaranya pada Julai 2018, tetapi tidak berpeluang mengadakan pertemuan kerana tiada persetujuan Kabul.

“Taliban menghubungi saya kerana saya berulang kali menegaskan situasi di Afghanistan tidak boleh diselesaikan secara ketenteraan.

“Atas dasar itu, saya seperti memiliki kredibiliti pada pandangan mereka,” katanya.

Imran mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Negara AS Mike Pompeo yang menekankan kepentingan untuk bekerjasama dan Pakistan memainkan peranan penting dalam menyokong proses kedamaian serta memerangi keganasan di Afghanistan. – AFP, 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen