Lelongan kasut Nike 'Moon Shoe' pecah rekod dunia


Seorang pengumpul membayar AS$437,500 (RM1.8 juta) untuk membeli edisi Moon Shoe jenama Nike yang dikeluarkan pada 1972. – Gambar Facebook, 24 Julai, 2019.

LELONGAN sepasang kasut sukan mencatat rekod dunia semalam apabila seorang pengumpul membayar AS$437,500 (RM1.8 juta) untuk membeli edisi “Moon Shoe” jenama Nike yang dikeluarkan pada 1972.

Agensi lelongan terkemuka Sotheby berkata jualan itu memecahkan rekod AS$190,373 (RM783,957) pada 2017 hasil lelongan sepasang kasut Converse yang dipakai bintang bola keranjang, Michael Jordan ketika perlawanan akhir sukan berkenaan di Sukan Olimpik 1984.

Sotheby menerusi satu kenyataan berkata ia juga mengatasi ramalan awal agensi terbabit yang menjangkakan kasut berkenaan mampu menghasilkan AS$160,000 (RM658,878).

Kasut “Moon Shoe” itu dibeli pengumpul dari Kanada, Miles Nadal menerusi bidaan dalam Internet sebagai tambahan kepada 99 pasang kasut edisi terhad yang dibelinya pada satu jualan persendirian minggu lalu.

“Saya amat teruja untuk memiliki kasut ikonik Moon Shoe ini, iaitu antara koleksi sukar ditemui dan juga artifak berharga dalam sejarah sukan dan pop,” katanya.

Pengasas bersama Nike Bill Bowerman mereka kasut sukan leper “Moon Shoe” itu direka khusus untuk pelari saringan Sukan Olimpik 1972.

Menurut Sotheby edisi “Moon Shoe” hanya dihasilkan 12 pasang dan set dibeli Nadal semalam adalah satu-satunya kasut yang diketahui masih wujud.

“Kami amat gembira kerana ‘Moon Shoe’ ini menghasilkan pulangan dua kali ganda lebih tinggi berbanding rekod dunia sebelum ini yang dicipta menerusi penjualan kasut sukan,” kata ketua e-perdagangan global Sotheby Noah Wunsch.

Nadal, 61, menghabiskan AS$850,000 (RM3.5 juta) untuk membeli baki 99 pasang kasut itu secara persendirian Rabu lalu dan merancang untuk mempamerkan semua koleksi berkenaan di muzium miliknya di Toronto. – AFP, 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen