SAKSI ke-54 pendakwaan, bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu akan kembali ke kandang saksi pada hari ke-43 perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib Razak.
Peguam bela Harvinderjit Singh akan menyambung sesi soal balas Yu, memberi tumpuan kepada hubungannya dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.
Yu berkata beliau berjumpa kedua-dua mereka pada 2008, setahun sebelum 1Malaysia Development Bhd dibentuk. Menurutnya, beliau berjumpa Low ketika ahli perniagaan itu dalam usaha mencari pembiayaan untuk syarikatnya, Majestic Masterpiece Sdn Bhd.
Ini adalah sebelum Low dilantik sebagai penasihat khas Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), dana kekayaan kerajaan negeri yang diambil alih oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada 2009.
Yu juga bertemu Nik Faisal ketika syarikat minyak Arab Saudi, PetroSaudi mahu mengambil alih Utama Banking Group Bhd (UBG) yang dimiliki Majestic Masterpiece.
Yu berkata komunikasinya dengan Low selalunya adalah untuk meminta beliau mempercepatkan bayaran wang untuk mengelak cek dikeluarkan Najib ditendang bak, menambah yang beliau tidak pernah menerima arahan daripada Low untuk transaksi lain.
Yu memberitahu mahkamah yang beliau diminta berhenti kerja di AmBank pada 2015 selepas dua dekad bekerja di situ. Ini disebabkan wujud tekanan selepas Bank Negara menyerbu cawangan bank itu di Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.

Situasi bertambah buruk selepas AmBank didenda RM53.7 juta pada November tahun sama kerana gagal melaporkan transaksi meragukan berkaitan akaun Najib.
Rakan setugasnya, Daniel Lee dan Krystle Yap juga meninggalkan bank itu selepas Yu berhenti. Yu kemudian menjelaskan yang beliau menyaman AmBank kerana perkara itu.
Semalam, dua permohonan dibuat peguam Najib juga dibenarkan mahkamah. Pertama, membolehkan Najib mendapatkan dokumen daripada AmBank berkaitan akaun banknya. Penghakiman itu membatalkan arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum ini yang menghalang bank menyerahkan dokumen berkaitan kepada bekas perdana menteri itu.
Penghakiman kedua pula membolehkan pihak pembelaan membandingkan draf keterangan Yu dibuat pada Januari dan keterangan akhir yang ditandatanganinya dan diserahkan kepada mahkamah.
Pihak pembelaan mahu membuktikan wujud perbezaan antara dua keterangan itu, seterusnya mencadangkan Yu sebenarnya mengenali Low lebih awal dan mempunyai hubungan rapat berbanding yang diakui dalam keterangan saksinya.
Pertuduhan jenayah ke atas Najib adalah berkaitan dengan pinjaman berjumlah RM4 bilion dikeluarkan SRC International pada 2011 dan 2012. Beliau didakwa menerima suapan mencecah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Pemimpin berusia 66 tahun itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun sekiranya sabit kesalahan.
Najib diwakili pasukan peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Manakala, pihak pendakwaan diterajui Peguam Negara Tommy Thomas, manakala hakim bersidang ialah Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:
9.30am: Nazlan membenarkan 9 Ogos untuk tarikh ganti bicara. Mahkamah ditangguhkan hari ini.
9.28am: Sithambaram memberi jaminan kepada Nazlan yang ada peluang mereka boleh menghabiskan kes pendakwaan seperti dijadual pada 16 Ogos.
Nazlan membenarkan mahkamah ditangguhkan hari ini. Beliau meminta Harvinderjit menyerahkan sijil cuti sakit esok.
Beliau juga menasihati pihak pembelaan untuk mengaturkan bicara esok sama ada meneruskan soal balas dengan Yu atau membawa masuk saksi baharu.
9.27am: Nazlan bertanya jika peguam lain tidak boleh meneruskan bicara.
Peguam belas memberitahu hakim yang beliau dinasihatkan supaya tidak meneruskan bicara hari ini.
Pendakwa raya V Sithambaram memberitahu Nazlan yang mereka boleh menghabiskan bicara pada 16 Ogos.
Tambahnya, mereka juga mampu menggantikan perbicaraan hari ini pada 9 Ogos.
“Kami tak mahu tak adil kepada pembelaan,” katanya.
9.24am: Mahkamah mula bersidang.
Shafee dan Harvinderjit tidak berada di mahkamah. Seorang peguam bela Najib memberitahu Nazlan yang Harvinderjit cuti sakit dan Shafee ada kes lain.
Pihak pembelaan mahu memohon kes ditangguhkan hari ini. – 24 Julai, 2019.
Komen