INDIVIDU 18 tahun lebih kompleks dan pragmatik daripada apa yang parti politik fikirkan dan tidak akan mudah terpedaya dengan rayuan politik berdasarkan kepada emosi dan sentimen, kata badan kali selidik Merdeka Centre.
Mereka mungkin akan mengundi berdasarkan kepada isu kehidupan seperti pekerjaan dan gaji berbanding hanya terpengaruh dengan isu agama dan kaum, kata pengarah eksekutifnya Ibrahim Suffian.
Ibrahim berkata demikian susulan kebimbangan banyak pihak tentang individu 18 tahun tidak cukup matang untuk mengundi dan mereka akan mudah terpengaruh dengan retorik politik beremosi dan berita palsu.
Bercakap pada rancangan bual bicara di RTM1 malam tadi, Ibrahim berkata pengundi muda itu yang akan berada dalam daftar pemilih tidak lama lagi akan cuba ditawan kedua-dua gabungan parti politik utama di negara ini, Pakatan Harapan (PH) dan Umno-PAS.
Katanya, kedua-dua gabungan itu percaya masing-masing ada kelebihan terhadap segmen pengundi paling kritikal itu.
“PH kata mereka yang 18 tahun ini kain putih boleh dicorakkan dengan warna mereka dan mereka rasa ada masa untuk memenuhi permintaan segmen ini.
“Pihak Umno dan PAS, mereka lihat dari segi demografi orang muda majoritinya Melayu Islam dan dalam konteks politik identiti mereka ia akan memberi kelebihan,” katanya dalam rancangan “Bicara Naratif”.

Bagaimanapun, realitinya lebih kompleks dan pengundi ini terpengaruh dengan pelbagai perkara termasuk budaya mereka, status sosioekonomi, perasaan terhadap semangat kedaerahan dan latar belakang indivud.
“Lazimnya mereka ada suara yang sama, mereka mahu kerajaan ini mengatasi tekanan ekonomi, tingkatkan pendapatan, sangat pragmatik terhadap isu pendapatan,” kata Ibrahim.
Untuk menarik pengundi ini, parti politik tidak boleh menggunakan isu kaum dan agama semata-mata, katanya.
“Saya rasa kebolehan menyempurnakan janji dan cadangan bernas amat penting. Saya rasa orang muda mahukan keaslian, pemimpin ikhlas jujur berintegriti,” katanya.
Dewan Rakyat baru-baru ini meluluskan pindaan Perlembagaan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18.
Langkah itu akan menambah kira-kira 7.8 juta pengundi baharu dalam daftar pengundi dan menjadikan populasi mengundi Malaysia kepada 22.7 juta.
Beliau berkata kaji selidik terbaru Merdeka Centre tentang sentimen politik, pengundi muda berubah perasaan mereka terhadap kerajaan PH daripada “positif” kepada “atas pagar”.
“Punca utama ialah rasa tidak puas hati terhadap ekonomi, tol dan kos sara hidup,” katanya.
Ibrahim bersama Atiqah Syairah Shaharuddin dari Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong had umur mengundi diturunkan kerana ia akan membawa kepada kematangan budaya politik di negara ini.
Belia boleh dididik untuk terbabit dalam kehidupan sivik sebaik saja tamat persekolahan dengan membantu mereka menjadi pemimpin masyarakat atau menyertai gerakan sosial, kata Ibrahim.
“Ini peluang yang perlu diambil dan ia satu proses mendewasakan anak untuk tidak obses tentang telefon bimbit, model, artis. Ia melengkapi mereka untuk menjadi pemimpin masyarakat seperti Malala Yousafzai dan Greta Thunberg,” katanya. – 24 Julai, 2019.
Komen