SUDAH 10 hari sejak bekas ahli majlis Petaling Jaya Peter Chong Fook Meng kali terakhir dilihat. Ini apa yang polis tahu setakat ini.
* Dia beli dua tiket bas ke Hat Yai, Thailand.
* Dia menghadapi masalah kewangan.
* Dia mengadu dengan rakan rapatnya yang tidak ada sesiapa membantunya.
Sumber polis yang menyiasat kehilangan Chong percaya bekas pegawai khas ahli Parlimen Subang itu berada di resort percutian di Hat Yai, Thailand.
Penemuan itu selepas siasatan mendapati dia membeli dua tiket bas pada 5 April – hari terakhir dia dilihat keluarganya – di stesen bas Terminal Bersepadu Selatan.
Penyiasat masih belum dapat mengenal pasti identiti individu yang menemani Chong ke Hat Yai.
Sumber polis juga berkata Chong mungkin menghadapi masalah kewangan berdasarkan kepada pemeriksaan terhadap akaun banknya dan bil yang belum berbayar, tetapi mereka tidak pasti adakan itu sebabnya dia menghilangkan diri.
“Namun, dia ada beritahu beberapa rakannya yang dia banyak membantu orang, tetapi apabila dia berdepan kesukaran, tidak ada sesiapa membantu,” kata sumber polis kepada The Malaysian Insight.
Tetapi tidak dapat dipastikan bantuan apa yang Chong perlukan.
Rakan rapat Chong, Ahli Parlimen Kapar G. Manivannan memberitahu The Malaysian Insight yang Chong suka membantu orang lain, tetapi tidak tahu jika dia berdepan masalah peribadi atau kewangan.
“Kami rapat kerana selalu berkomunikasi menerusi mesej dan biasanya mengenai politik,” kata Manivannan.
Chong yang sebelum ini bekerja untuk Ahli Parlimen Subang Sivarasa, memang sukakan politik dan khidmat sosial.
“Dia suka tolong orang,” kata Manivannan.
Beliau tidak pasti apa yang menyebabkan Chong hilang, dan berkata dua mesej terakhir yang mereka bualkan pada 6 April ialah ketika RUU 355 dibentangkan di Dewan Rakyat.
Difahamkan Chong masih belum menghubungi keluarganya atau polis, walaupun selepas polis mendedahkan pada sidang media yang dia ke Thailand melalui sempadan Bukit Kayu Hitam.
Chong dilaporkan hilang selepas memuat naik mesej di Facebook mengenai seeorang yang tidak dikenali memberi amaran kepadanya sekarang ramai orang hilang dan mendesaknya berhati-hati. Individu tidak dikenali itu berkata Chong dilihat hadir pada acara vigil untuk Pastor Raymond Koh, yang diculik pada 13 Februari.
The Malaysian Insight juga banyak kali cuba menghubungi anak lelakinya, Darryl di Kuala Lumpur tetapi panggilan dan pesanan teks tidak berjawab.
Kehilangan Chong dilaporkan oleh Darryl pada 8 April, mencetuskan spekulasi yang aktivis sosial berusia 54 tahun itu mengalami nasib serupa dengan empat aktivis lain yang hilang dalam tempoh enam bulan.
Empat aktivis sosial itu mula hilang sejak November tahun lalu.
Selain Pastor Koh, pengasas kumpulan masyarakat sivil Perlis Hope Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, juga hilang tanpa kesan. – 15 April, 2017.
Komen