MENURUNKAN had umur mengundi kepada 18 tahun akan melahirkan ahli politik yang lebih baik kerana parti politik akan mengubah pendekatan mereka untuk menarik lebih banyak pengundi penting ini.
Dasar terbaharu itu merupakan salah satu langkah bersejarah yang akan membantu menghasilkan budaya politik yang lebih matang, kata beberapa pakar dalam rancangan bual bicara di RTM1 malam ini.
“Kita harap apabila diturunkan had umur itu ahli politik akan belajar untuk berpolitik dan berkempen dengan beradab. Takkan dengan pelajar sekolah nak guna ayat-ayat yang kasar.
“Dengan kewujdan anak-anak dari sekolah, ia akan mengajar ahli politik supaya beradab dan guna bahasa yang sewajarnya ketika berkempen,” kata Atiqah, yang juga Timbalan Ketua Setiausaha MBM.
Atiqah berkata pada program ‘Bicara Naratif’, bersama-sama pengamat politik dan penganalisis politik Ibrahim Suffian dari Merdeka Center.
Dewan Rakyat baru-baru ini meluluskan pindaan perlembagaan untuk menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun dari 21 tahun sebelum ini dan ia pendaftaran pengundi akan dilaksanakan secara automatik.
Langkah itu dijangka menambah hampir 7.8 juta pengundi baru ke senarai daftar pemilih.
Ibrahim berkata perubahan usia mengundi akan memaksa parti politik memodenkan diri untuk menjangkau kumpulan pengundi baru dan semestinya tidak akan menggunakan kaedah konvensional dalam berkempen.
“Sekiranya sebelum ini, parti-parti politik akan berlumba untuk mendaftar pengundi, sekarang dengan pendaftaran pengundi secara automatik, mereka tidak perlu lagi (berlumba). Mereka sekarang boleh menghabiskan masa mendidik dan menanamkan nilai kepada anak-anak muda dan ini akan menjadi sebahagian daripada sistem politik kita. “
Kedua-dua Atiqah dan Ibrahim berkata kelas pendidikan sivik dan politik perlu bermula di sekolah tetapi kelas-kelas ini tidak perlu dinilai supaya ia tidak membebankan guru.
Namun, kelas-kelas ini harus memberi tumpuan kepada aspek-aspek sistem politik yang lebih luas dan bukannya perbezaan di antara parti-parti politik.
“Kita kena keluar dari kerangka politik kepartian kerana kerangka demokrasi itu lebih besar.
“Seperti mengapa negara demokrasi parlimen, bagaimanakah monarki perlembagaan berfungsi dalam masyarakat berbilang bangsa?” kata Atiqah lagi.
Ibrahim berkata sekolah boleh mula menanamkan prinsip-prinsip demokrasi dalam aktiviti seperti kelab debat dan pemilihan ketua kelas.
“Kita perlu mengambil kesempatan ini untuk mengajar anak-anak tentang realiti dunia dan memiliki cita-cita. Dan bagaimana untuk mempunyai perdebatan yang sihat mengenai isu-isu sosial dan alam sekitar, kerana ini semua merupakan sebahagian daripada politik.” – 23 Julai, 2019.
Komen