ORANG Asli Temiar Hulu Perak berhimpun di depan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik sebagai tanda solidariti susulan penahanan tiga orang komuniti itu pagi tadi.
Jurucakap penduduk Kg Ong Jelmol Ramli Aluej berkata kira- kira 60 Orang Asli Temiar berkumpul seawal jam lima petang dan jumlah itu semakin bertambah setakat jam 9 malam tadi.
“Kita percaya akan ada ramai lagi datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ramli berkata, Orang Asli kaum Temiar turut menunggu kehadiran peguam yang akan mewakili mereka yang ditahan pagi tadi.
“Ketika ini kita masih menunggu peguam kami, dan masing - masing di sini sangat bersemangat untuk perjuangkan tanah adat Orang Asli Temiar ini,” katanya.
Katanya lagi, mereka juga tidak akan teragak- agak untuk bermalam di situ sehingga tiga tahanan itu dibebaskan.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa berkata permohonan reman akan dibuat ke atas tiga Orang Asli berkenaan di mahkamah majistret esok.
Mereka yang ditahan ialah Johari Aleuj, Pam Yeek dan Shukri Man.
Penahanan itu dibuat dalam operasi meruntuhkan sekatan yang dibina Orang Asli Temiar berdekatan Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak.
Polis turut merampas lima buah motosikal dan sebuah kamera dalam operasi tersebut.
Peguam Orang Asli Temiar Thiyagu Ganesan pula berkata, ketiga-tiga Orang Asli itu ditahan di bawah Kanun Keseksaan 341.
Dua daripada tiga orang yang ditahan juga disiasat dibawah kesalahan Peraturan 25 (1)(N) Pendaftaran Jabatan Negara.
Jelas Ganesan lagi, jika anak guamnya disabitkan bersalah, mereka berdepan hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun dan denda sebanyak RM20,000.
“Hujah saya adalah penahanan adalah tidak mengikut undang-undang, kerana pihak berkuasa sepatutnya sedar bahawa Orang Asli hanya mempertahankan tanah adat mereka daripada diceroboh.
“Oleh kerana mereka sudah lama tinggal di tanah adat sejak sebelum merdeka, mereka juga sebenarnya mempertahankan hak-hak mereka,” katanya lagi.
Ganesan turut mengecam tindakan polis yang didakwa tidak mempedulikan Seksyen 341 Kanun Keseksaan.
“Mereka sepatutnya berbincang untuk selesaikan pertikaian bukan ambil keputusan untuk menahan mereka.”. – 23 Julai, 2019.
Komen